Berita14 gabungan NGO fokus tiga skop utama banteras rasuah

14 gabungan NGO fokus tiga skop utama banteras rasuah

SHAH ALAM – Empat belas badan bukan kerajaan (NGO) yang bergabung bagi membentuk Rasuah Busters Selangor/Wilayah Persekutuan/Putrajaya akan memfokuskan tiga skop utama dalam usaha memerangi gejala rasuah.

Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan berkata, tiga fokus itu melibatkan modul pendidikan seawal tadika hingga ke institusi pengajian tinggi (IPT), penggubalan dan penambahbaikan akta berkaitan kesalahan rasuah serta program kesedaran masyarakat berkaitan keburukan rasuah.

Beliau yang turut dilantik sebagai pengerusi gabungan berkata, modul pendidikan boleh dilaksanakan dalam format bengkel, kerja berkumpulan, karya kreatif yang memanifestasikan kefahaman mereka bahawa rasuah satu kemudaratan yang serius.

“Selain itu, penggubalan dan pindaan undang-undang berkaitan hukuman rasuah juga perlu lebih keras di samping mewujudkan mahkamah khas untuk perbicaraan kes rasuah. Ini adalah pelan tindakan bersifat semasa.

“Program kesedaran masyarakat pula membabitkan kempen turun padang yang memberikan kefahaman tentang kesan rasuah terhadap diri dan keluarga.

“Ini termasuklah mewujudkan pusat aduan di kawasan strategik yang mana ia juga merupakan pelan tindakan bersifat semasa dan jangka sederhana,” katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan sebanyak 14 NGO bergabung bagi membentuk Rasuah Busters Selangor/Wilayah Persekutuan/Putrajaya yang akan mewakili lebih 100 pertubuhan sivil di negeri berkenaan yang menjadi rakan kerjasama di bawah gerakan Rasuah Busters.

Gabungan itu akan menumpukan pelaksanaan program kesedaran dan usaha menangani rasuah khusus di peringkat negeri berkenaan.

Sementara itu, Wan Azliana berkata, beliau yakin gerakan tersebut akan menjadi pencetus dan penggerak utama kejayaan negara dan masyarakat Malaysia untuk menghapuskan amalan rasuah dalam tempoh 10 tahun akan datang.

“Harapan Aswa dan rakan gabungan lain terhadap peranan gerakan Rasuah Busters adalah amat tinggi.

“Gerakan secara berpasukan yang tersusun dan konsisten ini bakal melahirkan semula Malaysia baharu yang benar-benar maju dan makmur pada masa depan,” jelas beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy