Berita14 NGO gabung bentuk Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan

14 NGO gabung bentuk Rasuah Busters Selangor, Wilayah Persekutuan

SHAH ALAM – Sebanyak 14 badan bukan kerajaan (NGO) bergabung bagi membentuk Rasuah Busters Selangor/Wilayah Persekutuan/Putrajaya pada Jumaat.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, gabungan itu akan mewakili lebih 100 pertubuhan sivil di negeri berkenaan yang menjadi rakan kerjasama di bawah gerakan Rasuah Busters.

Beliau berkata, gabungan yang diketuai oleh Pengerusi Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (Aswa), Wan Azliana Wan Adnan sebagai pengerusi itu akan menumpukan pelaksanaan program kesedaran dan usaha menangani rasuah khusus di peringkat negeri berkenaan.

“Kita harapkan gabungan ini akan melaksanakan program atau gerakan integriti, good ‘governance’, moral dan sebagainya itu bersesuaian dengan keperluan negeri masing-masing meliputi segenap segmen masyarakat termasuk sekolah dan universiti.

“Dengan cara ini ini kita boleh fokus kepada peringkat negeri dan kita harap gerakan organik ini akan terus bergerak dan dengan adanya Rasuah Busters di peringkat negeri, isu integriti, moral dan karakter ini kita boleh bina secara khusus dan tertumpu,” katanya ketika ditemui Sinar Harian pada Jumaat.

Antara NGO terbabit ialah Aswa, Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram), Persatuan Patriot Kebangsaan (Patriot), Pertubuhan Pemuda Gema Malaysia (Gema) Selangor dan Gabungan Pertubuhan Islam Bukan Kerajaan (ACCIN).

Terlibat sama ialah Majlis Rangkaian Kesatuan Sekerja Antarabangsa Malaysia (UNI-MLC), Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persekutuan Keamanan Sejagat (UPF), Women’s Federation For World Peace (WFWP) Malaysia dan Ajar-ajar Malaysia (AAM).

Nurhayati berkata, selain meningkatkan perhubungan bersama masyarakat setempat, penubuhan gabungan tersebut juga diyakini mampu membantu Rasuah Busters bagi melakukan pengaktifan akar umbi terhadap kesedaran bahaya rasuah.

Katanya, gabungan yang sedemikian kini sudah ditubuhkan di Perlis, Kedah, Pulau Pinang, Perak dan Pahang.

“Insya-ALLAH kita akan bergerak ke Kelantan dan Terengganu. Pada masa sama, kita akan bertemu juga sahabat kita di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka,” ujarnya.

Dalam pada itu, Wan Azliana berkata, selain daripada pendidikan, usaha menangani rasuah juga perlu melibatkan langkah menambah baik aspek perundangan sedia ada.

“Pendidikan ini kita mendidik dan membina kesedaran bukan sahaja daripada peringkat awal, tetapi segenap lapisan umur. Ini penting.

“Tapi perundangan kita jangan lupa. Itu kita kena buat dari sekarang, maknanya kita kena ada rasa tanggungjawab kena terhadap rasuah kerana usaha tangani rasuah ini sebenarnya bukan terletak kepada Suruhanjaya Pencegahana Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia sahaja,” ujarnya.

Wan Azliana berkata, hukuman terhadap rasuah yang ada ketika ini memang tidak mencukupi dan beliau percaya hukuman lebih tegas perlu dilaksanakan bagi menghindarkan mana-mana individu daripada terlibat rasuah.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy