Berita700 kakitangan MBSA ikrar bebas rasuah

700 kakitangan MBSA ikrar bebas rasuah

SHAH ALAM – Seramai 700 kakitangan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) melafazkan ikrar bebas rasuah sempena Sambutan Hari Integriti pada Selasa.

Lafaz ikrar berkenaan diketuai sendiri oleh Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Zamani Ahmad Mansor di Dewan Auditorium, MBSA.

Bahagian Korporat dan Perhubungan Awam MBSA memberitahu, program itu merupakan inisiatif pihak MBSA untuk memperkasakan integriti dalam kalangan warga kerjanya.

“Pelaksanaan Hari Integriti bertujuan meningkatkan tahap kesedaran dan kefahaman mengenai integriti dalam bidang pekerjaan,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Pada majlis sama, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM) Selangor, Datuk Alias Salim turut menyaksikan sesi menandatangani ikrar bebas rasuah tersebut.

Kenyataan itu memberitahu, MBSA berharap dapat membudayakan integriti di dalam jiwa semua warga kerjanya di samping menanam tekad untuk menolak dan tidak terlibat dengan sebarang aktiviti negatif seperti gejala rasuah dan salah guna kuasa.

Menurut kenyataan itu lagi, program berkenaan memberi ruang dan peluang kepada warga kerja MBSA untuk berkongsi idea serta pengalaman bersama panel yang membicarakan topik berkaitan integriti.

Antara pengisian program itu ialah Bicara Pagi Integriti yang membincangkan topik Integriti Teras Kekuatan Jiwa yang disampaikan oleh penceramah ACT Consulting, Firdaus Djamaris dan Bual Bicara bertajuk Ku Perbetulkan Segala Kesilapan Yang Lalu disampaikan oleh penceramah selebriti, Syamsul Debat.

Majlis tersebut diserikan dengan pelancaran buku Pengurusan Risiko Rasuah (CRM) dan buku Tatacara Pengurusan Tatatertib.

Selain itu, turut diadakan pameran daripada pelbagai agensi termasuk Penjara Sungai Buloh, Unit Integriti MBSA, Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Petaling serta Unit Kaunseling Negeri Selangor.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy