BeritaAkta dapat kekang ahli politik dari ‘mudah dijual beli’

Akta dapat kekang ahli politik dari ‘mudah dijual beli’

SHAH ALAM – Pembentangan dan pelaksanaan akta pembiayaan dana politik di Parlimen perlu dipercepatkan bagi mereformasikan isu pendanaan politik di negara ini.

Ahli Jawatankuasa Gerakan Anti Rasuah (Garas), Angus Ng berkata, desakan pasukan Rasuah Busters menerusi kempen #Politik MalaysiaTanpaRasuah yang mendesak supaya akta itu segera dibentangkan di Parlimen juga selaras dengan hasrat ramai yang mahukan imej politik negara bebas daripada rasuah.

Tegas beliau, pelaksanaan akta itu dapat mengekang ahli politik daripada mudah ‘dijual beli’ serta akan menutup kepada jalan penawaran dan penerimaan rasuah.

“Ini satu permintaan yang baik dan penting kerana ahli politik perlu ada banyak dana untuk menjadi calon supaya boleh menang pada pilihan raya.

“Sekiranya calon ini menang dan dibiayai mereka yang berkepentingan, pemimpin terbabit perlu membayar kembali ‘upah’ itu, dengan itu kita tak akan dapat tangani rasuah dari awal,” jelas beliau.

Angus berkata, beliau memang menyokong supaya pembentangan akta berkenaan itu dipercepatkan bagi mengelak gejala rasuah yang ada kaitan dengan lompat parti dari terus berulang.

Sementara itu, penyediaan rang undang-undang berkenaan akan memfokuskan aspek mengawal selia sumbangan politik dalam usaha kerajaan membentuk ekosistem negara yang bebas rasuah pada masa akan datang.

Kerajaan juga yakin langkah berkenaan akan mewujudkan kepimpinan melalui teladan yang berteraskan prinsip ketelusan, akauntabiliti dan integriti dalam usaha menghapuskan rasuah.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here