Berita'Banteras orang tengah dan rasuah'

‘Banteras orang tengah dan rasuah’

MUAR – Isu rasuah bukan semuanya akan melibatkan wang tetapi ia juga berlaku di atas faktor kepentingan peribadi.

Demikian penjelasan Pengarah Urusan D’impian Agro Farm, Dr Baharuddin Mohamed yang menyifatkan perbuatan rasuah dilakukan demi kepentingan diri dan mengejar agenda peribadi.

Katanya, demi mengejar pangkat, kemewahan serta keistimewaan sebagai pemimpin, ada pihak yang sanggup melakukan perbuatan rasuah bagi melicinkan perjalanan ke arah tersebut.

Beliau yang pernah berkhidmat dalam jabatan kerajaan sebelum ini berkata, menjadi prinsip hidupnya untuk tidak sama sekali terlibat dengan rasuah, malah sangat membenci perbuatan jijik itu kerana ia mengenepikan hak orang lain.

“Saya sangat anti dengan perbuatan jijik rasuah dan pantang apabila ada pihak yang mengaitkan diri saya serta keluarga dengan rasuah.

“Begitu juga dengan bangsa dan negara yang perlu diselamatkan daripada perbuatan penyelewengan, salah guna kuasa serta rasuah.

“Anak bangsa perlu memberi perhatian terhadap isu yang saya tekankan ini terutama dari sudut integriti,” katanya kepada Sinar Harian baru-baru ini.

Malah tegas Baharuddin, demi membasmi dan menangani isu penyelewengan dalam sektor pertanian terutama melibatkan ‘orang tengah’, dia akhirnya memilih untuk terjun dalam bidang pertanian dan penternakan.

Menurutnya, dia sememangnya ikhlas dalam perjuangan membanteras orang tengah untuk sektor pertanian yang mengaut keuntungan berlipat kali ganda.

Jelasnya, pertanian dan penternakan merupakan kekayaan orang Melayu yang telah ditinggalkan oleh anak Melayu itu sendiri.

“Saya hendak berjuang untuk memperbetulkan persepsi bangsa Melayu bahawa pertanian dan penternakan merupakan satu sumber kekayaan yang tidak harus ditinggalkan.

“Apa yang penting adalah ilmu di dalam bidang tersebut. Jika dilaksanakan betul, ia merupakan satu sumber pendapatan yang sangat besar.

“Selain itu, saya ‘mewakafkan’ diri berada dalam sektor pertanian dan penternakan adalah bertujuan membanteras orang tengah yang banyak mengambil kesempatan daripada petani,” katanya.

Selain mempunyai ladang pertanian dan mengusahakan penternakan kambing, ayam dan rusa, Baharuddin turut berkongsi pengalaman dan kepakaran dalam dua bidang tersebut menerusi majlis ilmu bersama orang ramai.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy