More

    Bukti kebebasan sistem pengundian negara

    SHAH ALAM – Pelaksanaan pemilih muda (Undi 18) merupakan bukti Malaysia mengamalkan kebebasan pengundian pada pilihan raya selari dengan negara maju di seluruh dunia.

    Ketua Penerangan Wanita UMNO, Datuk Norshida Ibrahim berkata, sudah tiba masa dasar had kelayakan umur mengundi diturunkan kepada remaja seawal usia 18 tahun, sekali gus meletakkan Malaysia pada tahap sama dengan amalan semua negara demokrasi maju lain.

    Menurutnya, penurunan umur layak mengundi akan mewujudkan lebih banyak kebebasan biarpun mungkin akan menyebabkan jumlah keluar mengundi ketika pilihan raya umum (PRU) nanti menjadi lebih rendah.

    “Pelbagai persepsi berhubung perlaksanaan dan pemerkasaan Undi 18, namun perkara itu pastinya mendedahkan lebih ramai golongan muda kepada dunia politik negara.

    “Pemerkasaan Undi 18 memberi ruang penglibatan lebih ramai orang khususnya buat golongan muda, sekali gus menghasilkan ruang lingkup pandangan lebih segar mengenai senario politik negara,” katanya.

    Norshida berkata, kebanyakan negara maju seperti Amerika Syarikat (AS), Jerman, Jepun, India, Itali dan Argentina telah melaksanakan umur layak mengundi pada usia 18 tahun.

    Jelasnya, AS melaksanakan sewaktu pemerintahan Richard Nixon pada tahun 1971 dengan membuat pindaan ke-26 ke atas Perlembagaan AS untuk merendahkan umur layak mengundi daripada 21 kepada 18 tahun.

    Bagi Malaysia katanya, negara memerlukan pindaan Perkara 119(1) Perlembagaan Persekutuan dengan memperkenalkan rang undang-undang baharu menurunkan umur layak mengundi daripada 21 tahun ke 18 tahun dalam bahagian pilihan raya bagi Dewan Rakyat atau Dewan Undangan Negeri.

    Katanya, pelaksanaan Undi 18 bakal memberikan pengetahuan lebih jelas kepada golongan muda dari segi struktur amalan demokrasi negara.

    Ketua Wanita UMNO Segamat itu berkata, golongan remaja akan lebih arif mengenai kelayakan mengundi, hak dan sistem pendaftaran, kaedah pengundian, sumbangan dana politik, pembiayaan kempen serta penyuburan demokrasi.

    Meskipun begitu katanya, keburukan perlaksanaan itu mungkin memberikan ‘harapan palsu’ kepada golongan muda untuk mengundi dan mereka juga mendapat maklumat salah mengenai situasi sosial, politik dan ekonomi negara.

    Tegasnya, golongan tersebut mudah dipengaruhi rakan sebaya dan jika salah membuat keputusan, ia boleh memberi kesan buruk dalam memilih kepimpinan negara.

    “Buat masa ini, kita dimaklumkan rata-rata rakyat Malaysia bersetuju dan masih risau terhadap impak kepada diri anak-anak muda dan negara bagi jangka masa panjang.

    “Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan sebanyak 32 parti politik daripada 51 parti politik berdaftar bersetuju mengenai pindaan umur itu,” katanya.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here