Berita'Cadangan tiru Hong Kong banteras rasuah tidak sesuai'

‘Cadangan tiru Hong Kong banteras rasuah tidak sesuai’

SHAH ALAM – Cadangan untuk meniru dasar antirasuah seperti dilaksanakan di Hong Kong pada 1970-an untuk dikuatkuasakan di negara ini disifatkan tidak sesuai dilaksanakan di Malaysia.

Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan berkata, idea oleh bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak itu tidak bersesuaian dengan situasi yang berlaku di Malaysia ketika ini.

Katanya, undang-undang antirasuah kita sudah baik, cuma perlu diperketatkan penguatkuasaannya sahaja.

“Cadangan oleh Nazir Razak untuk memperkenalkan sistem antirasuah seperti di Hong Kong di mana perasuah diberi pengampunan. Kita kena faham sistem itu dibuat di Hong Kong pada tahun 70-an kerana rasuah, khasnya dalam kalangan anggota polis waktu itu satu endemik dan juga melibatkan gangsters.

“Jadi mereka diberi satu tempoh untuk pengampunan sebelum tindakan diambil. Tetapi di Malaysia kita ada undang-undang dan sistem rule of law masih dipraktik. Jadi elok sistem sekarang dikekalkan. Tetapi undang-undang boleh di perketatkan,” katanya kepada Rasuah Busters pada Ahad.

Dalam pada itu menyentuh sama ada Malaysia perlu mengenakan hukuman berat terhadap pesalah rasuah sehingga kepada hukuman gantung, beliau berkata, hukuman itu tidak sesuai dilaksanakan di negara ini.

“Mengenai hukum gantung saya tidak setuju, ini tidak sesuai sebagai satu hukuman untuk perasuah. Undang-undang antirasuah yang ada sekarang boleh diperhalusi atau diketatkan seperti kalau didapati bersalah kerana rasuah, hukuman penjara diwajibkan (mandatori) serta-merta walaupun perasuah itu membuat rayuan di mahkamah yang lebih tinggi,” katanya.

Tambahnya, ini terutamanya kes rasuah yang melibatkan duit rakyat.

“Lagi bila mereka didapati bersalah di mahkamah rendah hukuman juga perlu dikenakan untuk merampas harta perasuah walaupun kes mereka dalam rayuan. Ini akan memberi impak segera.

“Undang-undang sekarang memberi ruang kepada perasuah yang didapati bersalah untuk merayau-rayau dan memberi persepsi negatif kepada rakyat bahawa undang-undang antirasuah di Malaysia lemah,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy