BeritaDewan Negara bakal jalin kerjasama dengan Rasuah Busters

Dewan Negara bakal jalin kerjasama dengan Rasuah Busters

SHAH ALAM – Dewan Negara menyokong penuh penglibatan Rasuah Busters dalam usaha menghapuskan budaya memberi atau menerima rasuah serta segala bentuk penyalahgunaan kuasa di dalam ekosistem negara.

Yang Dipertuanya, Tan Sri Dr Rais Yatim berkata, usaha pasukan berkenaan selaras dengan fungsi Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara yang dipengerusikannya sekali gus perlu mendapat sokongan tinggi dari pelbagai pihak.

“Kerja yang dibuat oleh Rasuah Busters perlu mendapat sokongan tinggi di negara kita kerana ia berasaskan kepada perjuangan rakyat.

“Oleh kerana khidmat dan sumbangan Rasuah Busters mulia, seharusnya Dewan Negara akan menjalinkan tenaga sekutu dengan lebih akrab dan kami (Dewan Negara dan Rasuah Busters) akan berbincang secara spesifik beberapa perkara yang berdepan dengan anti rasuah, bagaimana kita laksanakan beberapa program yang menjurus kepada pemikiran rakyat dan menerima jurusan kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menjadi tetamu Wawancara Eksklusif Sinar Harian di Kompleks Karangkraf pada Rabu.

Mengulas lanjut Rais berkata, Jawatankuasa Pilihan Khas Tadbir Urus, Integriti dan Anti Rasuah Dewan Negara akan mengadakan perbincangan lanjut bersama Rasuah Busters dalam tempoh terdekat bagi membincangkan program yang boleh dilaksanakan bagi mencapai matlamat tersebut.

“Menerusi jawatankuasa berkenaan, kami akan formalisasikan hubungan itu supaya hasrat membanteras salah guna kuasa dan rasuah menjelma sebagai kerjasama jelas dan erat.

“Pertemuan pertama akan dibuat dalam tempoh terdekat supaya hasrat berkenaan dapat dilaksanakan secepat mungkin.

“Kalau kita tidak banteras rasuah secara langsung, kita akan kecewa sebab ia berada di mana-mana sahaja,” ujarnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy