BeritaEmpat lagi tuntutan #RasuahBusters harus diberi perhatian

Empat lagi tuntutan #RasuahBusters harus diberi perhatian

SHAH ALAM – Empat lagi tuntutan #RasuahBusters harus diberi perhatian bagi mengembalikan kestabilan politik melalui usaha pemulihan integriti di negara ini.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, bermula September yang lalu, #RasuahBusters mengemukakan enam tuntutan bagi mengembalikan kestabilan politik di negara ini.

Menurutnya, penggubalan akta pendanaan politik, kebebasan institusi, reformasi Parlimen dan pelaksanaan penuh pelan anti rasuah nasional tidak boleh ditangguhkan.

“Pemerkasaan undang-undang anti lompat parti ini perlu diseimbangkan dengan keseriusan kerajaan memenuhi sepenuhnya tuntutan #RasuahBusters agar sebarang pintu kepada perlakuan rasuah, sogokan atau tawaran tidak bermoral ditutup rapat, dan menjadi perisai yang mengekang sebarang bentuk krisis kestabilan negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Jumaat.

Nurhayati berkata, Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No 3) 2022 dan Peruntukan Larangan Ahli Parlimen Bertukar Parti yang diluluskan perlu fokus kepada mandat rakyat.

“Sejarah ini akan menjadi tanda aras transformasi kestabilan politik Malaysia bahawa setiap calon dan wakil rakyat yang dipilih hendaklah benar-benar fokus kepada memenuhi tanggungjawab legislatif yang diamanahkan oleh rakyat dalam mengangkat kepentingan mereka di peringkat Parlimen dengan penuh jujur dan amanah,” katanya.

Tambahnya, Rasuah Busters dan rakan-rakan gabungannya dalam kalangan masyarakat sivil telah mengadakan perbincangan bersama wakil-wakil rakyat dalam pelbagai siri pertemuan dan jelajah yang diadakan ke seluruh negara bagi memperjelas serta memberikan kefahaman agar tuntutan tersebut diambil serius oleh penggubal dasar.

“Sebagai wakil, mereka perlu menjadi suara rakyat di Parlimen dan memandu hala tuju negara kepada kedudukan yang lebih baik,” katanya.

Jelasnya, implementasi undang-undang itu secara tidak langsung akan memperjelaskan kembali fungsi wakil rakyat sebagai anggota semak dan imbang pelaksanaan kuasa pihak eksekutif dan sebagai suara rakyat dengan fungsi ini mendahulukan kepentingan negara daripada kepentingan kepartian.

Tegasnya, dalam hal ini, wakil rakyat tidak ada pilihan lain kecuali perlu berpegang kepada prinsip moral dan integriti yang tinggi dalam menjalankan amanah kepimpinan yang telah diberikan.

“Rasuah Busters akan terus memberi penjelasan kepada rakyat agar reformasi struktur dan budaya rasuah harus disekat di peringkat akar umbi agar ia tidak menghalang pertumbuhan ekonomi dan sosial yang sihat,” ujarnya.

Katanya lagi, dengan pemantauan yang tersusun, institusi politik negara dapat terbina bangkit dengan wibawa dan #NilaiMoralKarakterBangsa yang menjadi kunci kepada sebuah Malaysia yang harmoni, bermaruah, serta disegani di persada antarabangsa.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy