BeritaGabungan NGO tubuhkan Rasuah Busters Perlis

Gabungan NGO tubuhkan Rasuah Busters Perlis

KUALA PERLIS – Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) di negeri ini bergabung di bawah satu bumbung bagi membentuk Rasuah Busters Perlis.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin berkata, pertemuan pada Ahad turut membentuk satu jawatankuasa Rasuah Busters di negeri berkenaan yang diketuai oleh Nor Halmey Hamdah.

Menurutnya, antara NGO yang turut serta adalah Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) Perlis, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM), Persatuan Tadika Islam Malaysia (Pertim),Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) dan Aspirasi Prihatin Malaysia

“Selain itu, Pos Malaysia, National Council of Women’s Organisations Malaysia, Perlis; Suanphak Car Club, Kesatuan Pekerja-pekerja Pakaian Seragam Pos Semenanjung (UPUS) Perlis dan Persatuan Taska Berdaftar Negeri Perlis turut hadir memberi sokongan kepada usaha kita ini,” katanya ketika ditemui di Majlis Pertemuan bersama rakan Gabungan Rasuah Busters di Hotel Savana pada Ahad malam.

Norhayati berkata, Perlis merupakan negeri pertama yang menerima kunjungan Konvoi #RasuahBusters Utara dalam jelajah selama seminggu yang akan berakhir pada 18 Jun ini.

“Saya amat bersyukur dan berterima kasih kepada rakan-rakan Rasuah Busters Perlis yang sudi hadir dan menyokong usaha kita ini.

“Saya harap pertemuan ini tidak berakhir di sini dan lebih banyak program dapat diatur untuk merancakkan Rasuah Busters di Perlis,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pasukan Rasuah Busters Perlis, Nor Halmey Hamdah berkata, penubuhan jawatankuasa berkenaan dapat membantu melancarkan gerak kerja membanteras rasuah di Perlis.

“Masalah rasuah di Perlis ini tidak terlalu kritikal seperti di pusat. Jadi disebabkan masih kecil maka kita perlu bersedia dan seharusnya dibanteras dari awal supaya ia tidak semakin parah,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya turut mengalu-alukan lebih ramai rakan-rakan NGO di Perlis untuk sama-sama menyertai Rasuah Busters Perlis.

“Kita perlukan lebih ramai orang untuk mengembling tenaga sebab banteras rasuah ini adalah kerja sukarela dan kita perlukan banyak tenaga,” katanya

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy