BeritaGerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah tepat pada waktu

Gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah tepat pada waktu

SHAH ALAM – Keseriusan Sinar Harian membanteras rasuah dengan melancarkan gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah menjadi platform gelombang untuk rakyat bersatu memerangi amalan jijik itu.

Pengerusi Ikatan Komuniti Selamat, Tan Sri Lee Lam Thye berkata, pelancaran itu satu tema yang menarik untuk rakyat Malaysia tahu bahawa rasuah boleh dikatakan telah bermaharajalela baik di sektor awam mahu pun swasta.

Jelas beliau, inisiatif Politik #MalaysiaTanpaRasuah sememangnya tepat pada waktunya dan amat relevan.

“Saya harap inisiatif Sinar Harian dapat disahut semua lapisan masyarakat Malaysia supaya beriltizam untuk perangi rasuah ini. Rasuah tidak boleh dikompromi.

“Sekiranya berlaku secara perlahan, ia akan menghapus, merosakkan negara, ekonomi dan sebagainya. Bermula dengan ketirisan dan kebocoran, kita harus bertindak segera agar ia dapat dibendung,” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Rasuah ujar beliau adalah satu perkara yang tidak baik dan apabila ia telah didedahkan, tindakan susulan mesti diambil terhada; mana-mana individu yang terlibat.

Tambahnya, rasuah adalah salah satu penyakit yang serius dan memerlukan tindakan bersepadu untuk menanganinya.

“Saya tahu, hari ini rasuah sudah sampai satu tahap membimbangkan, banyak laporan dibuat melibatkan pelbagai sektor.

“Saya juga berharap kempen ini boleh dijadikan gelombang untuk rakyat bersatu padu, iltizam dalam memerangi rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, beliau juga menganggap gerakan Rasuah Busters yang dilakukan Sinar Harian bersama lebih 100 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) adalah satu simbol dan dijadikan salah satu pergerakan ke seluruh negara untuk mendidik masyarakat supaya bekerjasama banteras rasuah.

“Paling penting adalah generasi muda dan peringkat sekolah. Pastikan bahawa pelajar diberi peluang dan dididik tentang kesan buruk rasuah.

“Rasuah Busters juga satu bentuk inspirasi kepada rakyat untuk perangi rasuah,” katanya.

Gerakan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dilancarkan secara besar-besaran pada Sabtu berjaya mencetuskan satu gelombang baharu dalam kalangan rakyat Malaysia memerangi gejala rasuah.

Pelancaran kempen itu mendapat sokongan luar biasa dengan lebih 400 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bersatu hati bersama Pasukan Rasuah Busters.

Gerakan itu turut mendapat sokongan daripada pelbagai rakan media yang melakukan satu sinergi bersama.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy