BeritaHaram guna duit rakyat laksana korban

Haram guna duit rakyat laksana korban

SHAH ALAM – Hukum pemimpin menggunakan wang peruntukan kepada rakyat sebagai sumbangan korban adalah tidak harus menurut hukum syarak.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, antara syarat sah ibadah korban adalah haiwan yang dikorbankan sempurna dan tidak bergantung dengan hak orang lain.

Untuk itu tegas beliau, jika seseorang itu ingin mengerjakan ibadah korban, sumber bagi pembelian haiwan ternakan hendaklah bersih dan sama sekali tidak bercampur dengan hak orang lain.

Menurut beliau, menjadi satu kesalahan dan berdosa sekiranya amalan korban dicemari dengan kezaliman menggunakan hak orang lain sebagai kepentingan diri sendiri.

“Kita sedia maklum bahawa menggunakan harta orang lain tanpa keizinannya adalah haram dan termasuk dalam perbuatan tercela di sisi agama Islam.

“Pelakunya dikira berdosa kerana menggunakan harta manusia secara batil atau salah.

“Begitu juga sekiranya menggunakan sumber pembelian haiwan korban daripada hak (duit) rakyat, maka ia merupakan satu kesalahan dan berdosa kepada si pelaku,” katanya kepada kru Rasuah Busters.Mufti Negeri Sembilan, Datuk Mohd Yusof Ahmad turut bersependapat bahawa ibadah korban kumpulan pemimpin tidak boleh menggunakan sumber daripada duit rakyat.

Beliau berkata, individu yang mahu melaksanakan ibadah korban hendaklah daripada binatang ternakannya sendiri sama ada dibela sendiri, diwarisi, diberi kepadanya atau dibeli.

Untuk itu kata beliau, tindakan segelintir pemimpin menggunakan duit rakyat atau peruntukan kerajaan bagi kegunaan orang ramai untuk tujuan ibadah korban yang dilakukan di atas kepentingan diri adalah tidak dibenarkan.

Tegas beliau, ibadah korban adalah daripada hak persendirian individu terbabit, bukannya menggunakan harta yang merupakan hak milik orang ramai.

Sehubungan itu, beliau berkata, tindakan golongan pemimpin menggunakan wang peruntukan rakyat demi kepentingan diri adalah salah di sisi agama.

“Dana yang diperuntukkan kepada rakyat tidak boleh digunakan untuk membuat korban diri sendiri tetapi boleh diberikan kepada rakyat bagi membeli binatang untuk dibuat ibadah korban.

“Yang melaksanakan amalan korban itu adalah individu itu sendiri dan bukannya melibatkan mana-mana institusi,” jelas beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy