BeritaIACC perkasa SPRM

IACC perkasa SPRM

SHAH ALAM – Penubuhan Suruhanjaya Bebas Pencegahan Rasuah (IACC) dilihat sangat penting dalam meningkatkan kewibawaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kepercayaan orang ramai terhadap institusi penting tersebut.

Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Dr Badlishah Sham Baharin berkata, cadangan penubuhan IACC itu merupakan solusi terbaik untuk memperkasakan SPRM, setelah suruhanjaya itu terpalit dengan pelbagai isu sejak berapa tahun lalu.

Katanya, bakal menjadi sebuah institusi yang bertindak menyemak dan mengimbangi kuasa SPRM, IACC juga akan membuat laporan terus kepada Parlimen.

“Solusi membabitkan penubuhan IACC ini terkait dengan enam tuntutan utama dibuat oleh Rasuah Busters bersama rakan gabungan semasa pelancaran tuntutan tersebut pada 11 September lalu yang mahukan satu reformasi Parlimen dilakukan.

“Memantapkan lagi kewibawaan IACC, setiap anggota yang terpilih untuk berada di dalam suruhanjaya itu akan ditentukan oleh satu jawatankuasa khas Parlimen,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian pada sidang media #RasuahBusters: Solusi Transformasi SPRM yang dibawakan secara langsung di semua platform #RasuahBusters dan Sinar Harian.

Sidang media itu juga mendapat liputan daripada Astro Awani 501, Berita Nasional Malaysia (Bernama) dan rakan gabungan Rasuah Busters.

Liputan program itu juga dijayakan oleh rakan sinergi media #RasuahBusters iaitu TV Al-Hijrah, Sin Chew, The STAR dan Vanakkam Malaysia.

Panelis sidang media itu melibatkan Ketua Pasukan Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin; wakil Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh.

Terlibat sama Pengarah Eksekutif Centre To Combat Corruption and Cronyism (C4), Cyhthia Gabriel; Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan serta Pengarah Eksekutif Bersih 2.0, Yap Swee Seng.

Mengulas lanjut, Badlishah berkata, IACC bukan sahaja institusi yang betul-betul berkesan menyemak dan mengimbangi kuasa SPRM, malah institusi itu juga bakal membawa suara akar umbi ke dalam Parlimen.

Jelasnya, pelaksanaan tersebut akan menyaksikan SPRM lebih berintegriti dan telus menjalankan tugas, sekali gus mengembalikan keyakinan rakyat kepada suruhanjaya tersebut.

Menurutnya, solusi reformasi Parlimen yang dicadangkan oleh Rasuah Busters pada sidang media hari ini dilihat berjalan seiring dengan apa yang telah dicadangkan bersama dengan rakan gabungan sebelum ini.

Tegasnya, kuasa semak dan imbang ke atas SPRM adalah sangat diperlukan kerana suruhanjaya itu merupakan agensi barisan hadapan memerangi gejala rasuah di negara ini.

“Solusi yang dibentangkan hari ini adalah penting kerana tanpa ada pencarian solusi terhadap isu-isu yang berlaku, maka masalah yang sama akan berlaku lagi pada masa hadapan.

“Tidak kira siapakah yang akan menjawat jawatan Ketua Pesuruhjaya SPRM selepas ini, perkara sama akan terus berlaku.

“Maka kami sebagai rakan gabungan Rasuah Busters akan terus memberi fokus terhadap solusi yang dicadangkan supaya dapat memberi kewibawaan semula kepada SPRM untuk lebih kukuh, bebas, berintegriti serta telus,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy