BeritaJanji kerajaan pada #RasuahBusters

Janji kerajaan pada #RasuahBusters

SHAH ALAM – Kerajaan mengambil serius tuntutan yang dikemukakan pasukan #RasuahBusters dan rakan gabungannya pada Rabu.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar berkata, tuntutan berkenaan sudah dimulakan di pelbagai peringkat namun memerlukan masa untuk dilaksanakan.

“Semua tuntutan itu tidak boleh dilaksanakan sekelip mata. Contohnya, sekarang ini ada lebih daripada 20 rang undang-undang yang hendak diluluskan dalam masa terdekat termasuk Akta Anti Lompat Parti di Parlimen.

“Namun, kerajaan berjanji semua tuntutan ini diambil dengan serius,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, pasukan #RasuahBusters dan rakan gabungannya menuntut kerajaan dan 220 ahli Parlimen supaya meminda segera undang-undang membabitkan Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah yang dikemukakan mereka pada September tahun lalu.

Tuntutan daripada #RasuahBusters ialah pelaksanaan dan sokongan penuh terhadap Pelan Antirasuah Nasional (NACP); mempercepatkan pembentangan dan pelaksanaan Akta Pembiayaan Dana Politik; memastikan kebebasan dan ketelusan institusi khususnya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara serta memperkenal pilihan raya untuk memecat wakil rakyat yang melompat parti sebagai alternatif segera kepada Akta Anti Lompat Parti.

Selain itu, #RasuahBusters menuntut pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 dan melaksanakan reformasi Parlimen.

Wan Junaidi berkata, untuk Akta Anti Lompat Parti, rang undang-undang tersebut sudah berada di Parlimen dan kemungkinan tidak ada masalah untuk diluluskan.

“Pada 27 dan 28 Julai ini akan dibentangkan. Saya sudah berinteraksi dengan ramai ahli Parlimen dan saya melihat tidak ada masalah untuk diluluskan,” jelasnya.

Menurutnya, pelaksanaan dan pemerkasaan Undi18 juga sudah berada dalam fasa akhir termasuk undang-undang yang telah disiapkan.

“Apa yang tinggal sekarang ini adalah memberikan penjelasan kepada belia dan anak muda yang berumur 17 dan 18 tahun. Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menerusi akademinya melaksanakan libat urus dengan banyak pihak,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan Rang Undang-Undang Pentadbiran sudah disediakan untuk melaksanakan reformasi Parlimen.

“Namun, prosesnya mungkin memakan masa kerana ia umpama benda yang telah diikat berpuluh tahun dan ada perkara yang perlu diubah pada ikatannya. Ada beberapa perkara kecil yang kita perlu atasi dan kerajaan sangat prihatin mengenai perkara ini,” katanya.

Namun, beliau menjelaskan, Akta Pembiayaan Dana Politik berkemungkinan tidak dapat dibentangkan pada sesi Parlimen kali ini atau sesi Disember akan datang kerana kerangkanya belum siap sepenuhnya.

“Perkara ini memang kita dah bincang lama di Parlimen, pada pentadbiran dahulu ketika Barisan Nasional, Pakatan Harapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin dan sekarang kita masih berbincang.

“Tetapi, masalahnya ialah kita melihat dan mengkaji undang-undang di negara lain untuk kita mengambil kira di mana letak kelemahan dan apakah model yang kita perlu ambil,” jelasnya.

Dalam pada itu, untuk tuntutan dalam memastikan kebebasan SPRM dan Jabatan Peguam Negara, Wan Junaidi berkata, kementeriannya dan Perdana Menteri sedang meneliti beberapa kemungkinan termasuk meletakkan kedua-dua agensi berkenaan di bawah Parlimen.

“Saya melihat tidak ada yang membimbangkan sangat dalam agensi ini dan kebanyakan isu timbul kerana persepsi sebab kita tidak mengetahui fungsi dan tanggungjawab mereka.

“Namun, kita tetap akan memberikan tumpuan iaitu selain meletakkan di bawah Parlimen, Jabatan Peguam Negara itu juga akan dipecahkan kepada peguam negara dan agensi pendakwa raya. Kita tidaklah dapat lakukan dengan sekelip mata kerana amalan ini sudah diwarisi selama 70 tahun,” tambah beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy