Jenayah rasuah jangan hanya salahkan penjawat awam

0
18

SHAH ALAM – Jenayah rasuah tidak boleh diletakkan kesalahan sepenuhnya kepada penjawat awam sahaja jika tiada individu atau pihak berkepentingan yang mulakan pemberian.

Pengerusi Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF), Datuk Seri Halim Ishak berkata, perbuatan tersebut kebiasaannya melibatkan golongan profesional yang berpendidikan seperti golongan korporat, perbankan, pasaran saham, peniaga dan termasuk orang awam.

Beliau berkata, golongan tersebut banyak mencemari sistem penjawat awam untuk kepentingan diri dengan menghalalkan cara demi mencapai agenda masing-masing.

“Contoh yang terbaik adalah isu kebanjiran warga asing di negara ini yang melibatkan proses pengurusan pekerja asing dan agensi-agensi pekerjaan yang menyogok serta mencabul integriti penjawat-penjawat awam dengan pelbagai cara dan kaedah untuk melancarkan urusan mereka.

“Ini semua melibatkan orang awam kerana tangan kanan yang memberi itu adalah pada mereka, walhal sistem pentadbiran dalam kerajaan dan penjawat awam itu sendiri telah di terapkan dengan dasar-dasar operasi dalam kerajaan yang begitu baik serta di kawal selia oleh ketua-ketua jabatan di bawah Ketua Setiausaha Negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Dalam pada itu, Halim berkata, isu rasuah dalam negara berada di tahap kritikal sehingga memerlukan vaksin untuk mengekang penularan di setiap peringkat dalam negara.

Menurutnya, jenayah tersebut akan mendatangkan impak negatif dari segi statistik rasuah yang berlaku dan dipantau oleh pihak agensi antarabangsa berhubung isu rasuah.

Tambah beliau, pihak kerajaan perlu serius dalam memastikan tiada campur tangan politik dalam agensi penjawat awam untuk memastikan sistem negara berjalan lancar dan tidak hancur.

“Mereka perlu telus dan tiada pendakwaan terpilih terutama di bahagian Jabatan Peguam Negara dan institusi kehakiman apabila melibatkan kluster-kluster ahli politik serta ketua-ketua jabatan yang didakwa tetapi tiada tindakan diambil terhadap mereka.

“Tindakan ini akan menyebabkan kredibiliti institusi kehakiman dan perundangan negara akan dipersendakan di peringkat antarabangsa sehingga menjatuhkan maruah negara sekali gus akan menyebabkan keyakinan pelabur asing untuk melabur dalam negara kita hilang,” ujarnya,

Jelas Halim, sempena menyambut Hari Malaysia ini dengan slogan ‘Merdekakan Diri dari Rasuah᾿, kesedaran dan usaha sama dalam mengembeling isu ini perlu bermula daripada peringkat atasan kuasa eksekutif negara hinggalah ke penjawat awam dan rakyat dalam memastikan kesedaran serta penerapan nilai jati diri kepada masyarakat membenci rasuah dapat dipupuk dari awal.

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here