BeritaJentera Pinzgauer jadi tumpuan Konvoi #RasuahBusters

Jentera Pinzgauer jadi tumpuan Konvoi #RasuahBusters

SHAH ALAM – Sepanjang perjalanan dan ‘pendaratan’ Konvoi #RasuahBusters di lokasi persinggahan, setiap mata pasti akan tertumpu kepada sebuah jentera unik serta sasa milik Azlan Adnan.

Kenderaan pacuan empat roda (4WD) jenama Pinzgauer milik bekas pengurus berusia 63 tahun itu ternyata membuka mata orang ramai yang kagum melihat jentera yang kebanyakannya hanya digunakan oleh pihak ketenteraan.

Kehadiran jentera jenis 716 M-P40 keluaran Austria tersebut bersama Konvoi #RasuahBusters menyemarakkan lagi aura jelajah di sekitar Lembah Klang yang berakhir baru-baru ini.

Selain bergambar, orang ramai juga diberi peluang oleh Azlan untuk menaiki jentera unik tersebut dan bergambar secara eksklusif di bahagian atas kenderaan yang dipanggil machine gun turret.

Peluang itu digunakan sepenuhnya oleh orang ramai yang teruja dengan kenderaan tersebut yang dianggarkan terdapat kira-kira 397 buah di Malaysia.

Bagi Azlan, dia sangat bertuah kerana diberi peluang untuk turut serta dalam misi penting menyebar mesej antirasuah kepada seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Katanya, ia satu penghormatan buat dirinya biarpun mengalami masalah mata dan tergolong sebagai orang kurang upaya (OKU), namun dia diberi peluang menyertai Konvoi #RasuahBusters menjelajah beberapa lokasi penting di Selangor dan Kuala Lumpur.

Tegas beliau, semangatnya sangat membara untuk menyertai Konvoi #RasuahBusters sebagai sukarelawan apabila program itu dibuka untuk disertai orang ramai.

“Saya sememangnya teruja untuk menyertai Konvoi #RasuahBusters dalam melaksanakan misi penting memerangi amalan rasuah di negara ini.

“Saya mungkin cacat penglihatan, namun saya ‘tidak buta’ untuk melihat apa yang berlaku dalam negara terutama isu rasuah yang semakin membarah.

“Atas sebab itu, saya sanggup meluangkan masa dan berkorban menyemarakkan lagi misi Rasuah Busters bagi menyampaikan mesej antirasuah kepada orang ramai terutama di peringkat akar umbi,” katanya kepada kru Rasuah Busters pada Ahad.

Azlan ialah OKU yang mempunyai masalah penglihatan apabila sel mata berkurangan sejak setahun lalu.

Ekoran masalah tersebut, dia perlu memakai cermin mata khas bagi mengelakkan cahaya terlalu banyak masuk ke dalam anak mata.

Kata Azlan, dia mengeluarkan modal sebanyak RM125,000 bagi membeli Pinzgauer yang menjadi idamannya sejak dahulu lagi.

Katanya, dia membeli jentera tersebut daripada seorang pemilik kedai membaiki kenderaan di Balakong, Selangor sejak lima tahun lalu.

Menurut beliau, kenderaan yang menjadi buruan collecter items itu kini digunakan untuk bercucuk tanam pertanian organiknya yang dikenali sebagai Foodscape Volunteers.

Sebagai pengasas Foodscape Volunteers, tanaman Azlan tidak menggunakan baja kimia dan racun perosak.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy