BeritaKaji semula perundangan pengurusan kediaman strata

Kaji semula perundangan pengurusan kediaman strata

SHAH ALAM – Kerajaan diminta untuk mengkaji semula perundangan membabitkan pengurusan kediaman strata di dalam negara bagi memastikan hak pemilik rumah terjamin.

Aktivis, Shafik Abdullah berkata, undang-undang sedia ada digunakan bagi perkara tersebut dilihat memiliki elemen berat sebelah sehingga pemilik rumah menjadi mangsa.

Menurutnya, kegagalan kementerian berkaitan untuk melakukan pemantauan terhadap pemaju perumahan juga dilihat menyebabkan pemilik rumah tidak mendapat hak yang sepatutnya.

“Contohnya bila kita beli rumah kita membuat bayaran tetapi hak kita dihalang dengan kuasa Badan Pengurusan Bersama (JMB).

“Ikut undang-undang negara kita, yang pertama apabila pemaju menyiapkan rumah, mereka perlu secepat mungkin menubuhkan JMB dan memohon strata title (Hakmilik Strata).

“Tapi di Malaysia alangkah sedihnya kerana tiada ketegasan… dalam membantu pemaju yang telah siapkan rumah, ada kes yang dah 15 tahun tetapi masih tidak dapat lagi HakMilik Srata itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘JMB Korup, Pemilik Jadi Mangsa’ yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Rabu.

Program yang dikendalikan Fiza Sabjahan itu turut menampilkan pelakon, Zed Zaidi dan penganalisis hartanah, Faizul Ridzuan.

Mengulas lanjut, Shafik berkata, meskipun kewujudan JMB terdiri daripada kalangan penduduk, namun beliau mendakwa badan tersebut dilihat terdedah kepada unsur konflik kepentingan yang menjejaskan fungsinya dalam menguruskan kawasan kediaman terbabit.

Jelas beliau, konflik kepentingan itu boleh berlaku apabila pemilihan individu di dalam JMB itu terdiri daripada ejen pemaju atau kroni individu tertentu.

“JMB ini memang dikatakan dalam kalangan penduduk di situ tetapi berlaku juga unsur politik di dalam pemilihan.

“Ini kerana apabila pemilihan berlaku, tidak ada cara yang spesifik yang digunakan. Sekiranya di situ ada 300 penghuni, bukan semua yang mengundi, jadi di mana hak pemilik tersebut.

“Jadi kerajaan wajib mengkaji balik dan mengeluarkan satu cara iaitu setiap penghuni boleh mengundi dan tidak perlu menghadirkan diri dalam mesyuarat agung tahunan (JMB),” ujarnya.

Sehubungan itu, Shafik berkata, pemilik rumah strata di Malaysia seharusnya melaporkan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sekiranya mereka melihat terdapat berlakunya salah laku dalam pengurusan kediaman mereka.

Jelas beliau, mana-mana pihak pengurusan kediaman atau JMB juga tidak sepatutnya menggunakan sebarang kekerasan dalam menjalankan fungsinya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy