BeritaKebebasan 3 institusi, Azalina digesa bincang dengan PM

Kebebasan 3 institusi, Azalina digesa bincang dengan PM

SHAH ALAM – Wakil Gabungan #Rasuah Busters menggesa Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said berbincang dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berhubung isu kebebasan dan ketelusan institusi awam.

Wakilnya yang juga pengasas dan Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel berkata, ia perlu diberi keutamaan dalam usaha memperkasakan dan membebaskan institusi seperti Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Jabatan Peguam Negara dan Pendakwaraya daripada pengaruh politik.

“Kita nak jawapan sebelum pilihan raya macam mana institusi boleh diperkukuhkan lagi. Selain SPRM, institusi yang lain untuk memerangi rasuah ialah Jabatan Pendakwaraya dan Peguam Negara. Sekarang kita tahu Peguam Negara dan Pendakwaraya terdiri daripada satu jabatan.

“Bagi menjamin keadilan dan meningkatkan kewibawaan, ketiga-tiga institusi ini harus diasingkan dan dibebaskan supaya tidak dipengaruhi badan eksekutif mahupun tekanan politik.

“Justeru, kami mendesak Datuk Seri Azalina yang menjadi Penasihat Khas Undang-Undang dan Hak Asasi Manusia cuba berbincang dengan Perdana Menteri dengan segera untuk dibangkitkan kepada kabinet, malah memberi satu jaminan kepada rakyat bahawa institusi berkenaan akan diasingkan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar Enam Tuntutan Politik #MalaysiaTanpaRasuah ‘Apa Dah Jadi?’ yang berlangsung di Kumpulan Karangkraf di sini pada Rabu.

Antara panel yang hadir pada sidang akhbar tersebut Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Ketua Pegawai Eksekutif Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Tricia Yeoh; Pengerusi Bersih 2.0, Thomas Fann; Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai; Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan.

Dalam perkembangan sama, beliau turut menggesa agar ahli Parlimen bertindak dengan kewajaran untuk menyokong pindaan-pindaan terhadap Perlembagaan Persekutuan termasuk Akta Lompat Parti, Akta Pembiayaan Dana Politik selain kebebasan dan ketelusan institusi.

“Selain itu, kami juga meminta rakyat supaya bijak membuat keputusan dalam pilihan raya akan datang supaya kita dapat membawa negara kepada urus tadbir yang baik, keadaan yang kurang rasuah dan ahli politik yang berintegriti,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy