BeritaKejatuhan CPI dua kali berturut-turut, gejala rasuah semakin parah

Kejatuhan CPI dua kali berturut-turut, gejala rasuah semakin parah

SHAH ALAM – [DIKEMAS KINI] Jangan sesekali mengambil mudah kejatuhan kedudukan Malaysia di dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 seperti mana diumumkan oleh Transparency International (TI) pada Selasa.

Ketua Pejuanita Muda Malaysia Parti Pejuang Tanah Air, Dr Nurul Ashikin Mabahwi berkata, penurunan CPI negara yang mencatat kejatuhan dua tahun berturut-turut adalah satu perkara serius.

“CPI Malaysia 2021 jatuh dari tangga 57 ke tangga 62. Pada tahun 2019 kita berada pada tangga ke 51, ini menunjukkan CPI kita jatuh dua tahun berturut-turut.

“Ini membuktikan indeks rasuah negara kita terus corot dan tiada peningkatan yang baik.

“Rakyat perlu ambil serius tren indeks rasuah kerana ia melambangkan tahap transparensi dan norma rasuah negara kita,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Mengulas lanjut, Nurul Ashikin berkata, keputusan CPI yang diumumkan pada Selasa bakal mempengaruhi persepsi luar terhadap tahap rasuah di negara ini.

Untuk itu menurutnya, CPI perlu dijadikan penanda aras kepada kemampuan kerajaan untuk memerangi gejala rasuah.

Jelasnya, kepelbagaian faktor yang mendorong kepada penurunan CPI perlu dikaji agar langkah proaktif memerangi rasuah dan mewujudkan ketelusan pentadbiran kerajaan dapat diambil.

Katanya lagi, rakyat boleh membantu kerajaan atau pihak berkuasa dengan bersuara bagi setiap salah laku yang berlaku di sekeliling mereka.

“Perlu diingatkan bahawa rakyat yang tidak berani bersuara akan membentuk negara yang korupsi dan menghancurkan masa depan negara,” katanya.

Tambahnya, Malaysia berhadapan dengan pelbagai kes rasuah berprofil tinggi, namun pelaku masih belum dikenakan tindakan malah masih bebas ke sana sini.

Selain itu menurutnya, organisasi yang ditubuhkan untuk memerangi rasuah turut terpalit dengan ‘trust deficit’ dalam kalangan masyarakat.

“Sebagai contoh ‘trust deficit’ adalah seperti kes Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah (SPRM), Tan Sri Azam Baki dan kes pegawai SPRM sendiri yang terlibat mengambil rasuah.

“Satu keperluan untuk merombak SPRM dan menjadikan ia satu badan yang benar-benar bersih dan bebas.

“Tindakan ini sangat penting bagi mengawal tahap rasuah negara dan memastikan transparensi terus utuh di dalam SPRM,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy