More

    Kelemahan sistem jadikan rasuah semakin membimbangkan

    IPOH – Perkembangan rasuah di negara ini didakwa semakin membimbangkan apabila dilakukan secara lebih berani dan terang-terangan melalui sindiket dan perancangan yang tersusun.

    Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) menerusi khutbah Jumaat menjelaskan, keadaan itu berlaku disebabkan kelompongan dan kelemahan sistem kawalan sedia ada yang membolehkan perasuah licik untuk melepaskan diri daripada tindakan undang-undang.

    Menurutnya, kelemahan berlaku ketika ini kerana kurangnya ketegasan, keberanian, serta tanggapan, berlakunya pilih kasih ketika menguatkuasakan undang-undang untuk mencegah rasuah dan mendakwa serta menghukum mereka yang melakukan rasuah.

    “Akibatnya, perbuatan rasuah dan salah guna kuasa terlepas daripada hukuman duniawi walaupun pada hakikatnya perbuatan-perbuatan tersebut jelas berdosa dan keji di sisi syarak,” jelas intipati khutbah berkenaan.

    Khutbah Jumaat bertajuk Sifat Malu Lambang Ketakwaan Dan Integriti Pekerja Mukmin itu turut menekankan bahawa rasuah kini berlaku, bukan sekadar wujud pemberi dan penerima, tetapi lebih jauh daripada itu, dilakukan melalui sistem yang boleh dimanipulasikan hingga ke peringkat mempersendakan undang-undang dan badan-badan penguat kuasa.

    Katanya, kegiatan seperti tuntutan palsu, duit kopi, angpau, upah, sagu hati, komisen dan kautim pada ketika ini bukan lagi rahsia tetapi amat membimbangkan telah menjadi sebahagian budaya berurusan dan berurusniaga di negara ini.

    “Sedarlah, jika keadaan ini dibiarkan berlarutan, bererti Malaysia sedang menuju ke zaman gelap.

    Negara terpaksa menanggung kerugian berbilion-bilion ringgit disamping menggugat keyakinan pelabur dan menjejaskan pertumbuhan ekonomi yang turut menjejaskan kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat.

    “Pada akhirnya akan turut menjejas keselamatan negara apabila rakyat sudah bosan dan hilang keyakinan,” menurut khutbah berkenaan.

    Intipati khutbah bersempena Hari Pekerja itu menegaskan, umat Islam semakin kurang memiliki sifat malu lalu tergamak melakukan pelbagai kemungkaran, berlaku dalam pelbagai bidang tugas dan pekerjaan, merangkumi sebahagian agamawan, ahli politik, penjawat awam dan pekerja swasta.

    Jelasnya, tanpa segan silu dan jauh daripada rasa berdosa, segelintir umat Islam bersifat tamak, berperangai rakus, sanggup menipu dan berbohong semata-mata untuk merebut kekayaan dan mencari pengaruh serta mengamalkan sifat-sifat yang mementingkan diri sendiri.

    “Akibat dari hilangnya perasaan malu, budaya rasuah dan salah guna kuasa mahu dijadikan kebiasaan dalam dunia pekerjaan dan kehidupan harian.

    “Kalau dahulu rasuah dan salah guna kuasa merupakan perbuatan yang sangat keji dan jijik, kini perbuatan rasuah dan salah guna kuasa, dilaporkan semakin berlaku dan merebak,” jelas khutbah itu.

    Khutbah yang dibacakan di seluruh masjid dan surau diri Jumaat seluruh negeri itu menggesa seluruh masyarakat mencontohi pekerti umat Islam sejati yang dididik, dengan nilai pekerti yang tinggi agar bersikap jujur, bersih, ikhlas, dan amanah.

    “Malu kepada ALLAH adalah malu paling utama iaitu memelihara akal, menjaga sumber rezeki dan sentiasa mengingati mati.

    “Sifat-sifat ini, kini bagaikan semakin terhakis.

    Punca lahirnya salah guna kuasa, rasuah dan pengkhianatan dalam kalangan masyarakat, merupakan natijah daripada terhakisnya perasaan malu,” menurut khutbah itu.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here