More

    Kerajaan disaran tubuh Suruhanjaya Diraja

    SHAH ALAM – Kerajaan disaran menubuhkan Suruhanjaya Diraja dalam memilih individu yang menerajui Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara agar pelantikan yang dilakukan benar-benar bebas.

    Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berkata, Suruhanjaya Diraja yang melibatkan badan-badan bebas seperti Majlis Raja-Raja dan badan kehakiman akan memastikan pelantikan seseorang Ketua Pesuruhjaya SPRM dan Peguam Negara bebas dari pengaruh politik.

    “Suruhanjaya Diraja ini akan menjadi badan khusus untuk memilih tanpa penglibatan ahli-ahli politik.

    “Ini adalah langkah komprehensif yang perlu dilakukan untuk mengatasi masalah besar (campur tangan ahli politik) di negara kita,” katanya.

    Beliau berkata demikian selaku panelis pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Jangan khianat: Henti campur tangan dalam institusi negara’ yang disiarkan secara langsung di Facebook Sinar Harian pada malam Rabu.

    Dalam program itu beliau bergandingan bersama Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Muhammad Mohan manakala ahli pasukan teras Rasuah Busters, Dr G Manimaran bertindak sebagai moderator.

    Mengulas lanjut, Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) itu menegaskan, untuk memastikan tiada campur tangan ahli politik serta ahli perniagaan dalam institusi negara, ia memerlukan tindakan yang berani.

    Katanya, keberanian itu termasuklah dengan mewujudkan Suruhanjaya Diraja seperti yang dicadangkan beliau.

    “Saya bimbang kerana berdasarkan situasi pemerintahan negara sekarang kita lihat keadaan (campur tangan institusi) ini semakin ketara (parah), ia (institusi) sudah jadi alat politik sekarang.

    “Badan itu seharusnya menjadi badan untuk mencegah rasuah dan mengatasi ketirisan untuk meletakkan negara kita di landasan yang mulia tetapi akhirnya ia untuk memenuhi selera pihak-pihak tertentu,” katanya.

    Mohd Shafie menambah, apa yang dirisaukan beliau, seandainya budaya itu akan terus menular, negara tidak akan dapat menanganinya.

    Ujar beliau, ahli politik sepatutnya tidak perlu risau dengan pelantikan yang dibuat badan bebas sekiranya mereka benar-benar bekerja dengan amanah dan jujur.

    “Pasal apa kalau orang lain lantik Ketua Pesuruhjaya SPRM, kita bimbang? Kenapa kita perlu takut? Sebenarnya kalau ada niat tidak baik sahaja kita akan takut,” kata beliau.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here