BeritaKerajaan tiada kekangan gubal hukuman lebih berat pesalah rasuah

Kerajaan tiada kekangan gubal hukuman lebih berat pesalah rasuah

SHAH ALAM – Kerajaan tidak mempunyai sebarang kekangan atau sekatan untuk menggubal hukuman yang lebih berat termasuk hukuman mati atau penjara seumur hidup ke atas individu yang disabit dengan kesalahan rasuah.

Exco Persatuan Peguam Muslim Malaysia (PPMM), Hariz Yusoff berkata, ini kerana undang-undang itu boleh dilaksanakan di bawah peruntukan Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Beliau berkata, undang-undang bagi sabitan kesalahan rasuah ketika ini memperuntukkan pemenjaraan sehingga 20 tahun maksimum.

“Kerajaan tidak ada sebarang kekangan atau sekatan (untuk kenakan hukuman lebih berat kepada pesalah rasuah) sebagaimana pelaksanaan hukuman mati kena atas mereka yang mengedar dadah di bawah pertuduhan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

“Hukuman berat seperti hukuman mati atau pun hukuman penjara seumur hidup boleh dilaksanakan di bawah peruntukan Akta SPRM (dan) dalam Islam juga kita boleh tengok untuk mereka yang mengedar dadah ini adalah satu bentuk hukuman takzir iaitu hukuman gantung mati.

“Jadi, kepada mereka yang menerima rasuah ini juga boleh dilaksanakan hukuman takzir tersebut oleh pemimpin atau kerajaan supaya mereka yang berpotensi untuk menerima rasuah atau sebagainya akan berfikir satu juta kali untuk melakukan kesalahan sama,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel pada program Kompas Rasuah Busters bertajuk Rasuah: Gaya Hidup atau Keperluan yang disiar di Facebook Sinar Harian pada malam Rabu.

Program yang berlangsung kira-kira satu jam itu turut menampilkan Ketua Penerangan Pas, Senator Khairil Nizam Khirudin sebagai panelis, manakala Irfan Faruqi bertindak sebagai moderator.

Sementara itu, menyentuh mengenai tajuk yang dibincangkan itu, Hariz menegaskan rasuah bukan satu keperluan sebaliknya ia adalah satu pilihan mengikut nafsu.

Ini kerana katanya, berdasarkan pengalaman dalam kes yang dikendalikan tidak pernah ada tertuduh mengakui mengambil rasuah kerana kesempitan hidup.

“Tidak pernah lagi kami jumpa mereka yang dituduh dengan kes rasuah ini menyatakan kepada peguam bahawa mereka mengambil rasuah untuk keperluan meneruskan hidup.

“Mereka yang dituduh rasuah ini adalah mereka yang mempunyai pendapatan tetap tapi mereka memilih untuk memperoleh pendapatan tambahan dengan cara yang salah,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy