BeritaKhutbah di Perak sentuh isu rasuah

Khutbah di Perak sentuh isu rasuah

IPOH – Jenayah rasuah yang tidak dibendung akan merosakkan pentadbiran dan memusnahkan negara.

Perkara itu ditegaskan menerusi khutbah Jumaat di seluruh masjid dan Surau Diri Jumaat di Perak pada Jumaat.

Menurut teks khutbah berkenaan, lebih membimbangkan, jenayah rasuah yang berlaku di negara ini dilaporkan semakin meningkat.

Berdasarkan data Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM), sebanyak 833 tangkapan telah dilakukan antara Januari sehingga November tahun 2021 malah secara hakikatnya, jenayah rasuah berlaku dipercayai lebih tinggi daripada angka tangkapan tersebut.

“Pelaku rasuah terdiri daripada petugas-petugas sektor awam dan sektor swasta, termasuk dalam kalangan pengurusan tertinggi dan profesional serta pemimpin politik.

“Jenayah rasuah merupakan barah yang sedang membiak kerana terdapat pihak-pihak yang telah dipengaruhi sikap haloba hingga bersedia menggadaikan maruah dan harga diri untuk mendapat keuntungan peribadi bersifat sementara,” jelas teks khutbah tersebut.

Menurut teks khutbah berkenaan, barah rasuah yang sedang menular wajib segera diubati malah Islam menegah perbuatan rasuah sama ada perbuatan menerima begitu juga memberi termasuk yang bersubahat.

Jelas teks khutbah itu, walaupun pelbagai undang-undang digubal, langkah pencegahan serta tangkapan dilakukan, masih terdapat individu yang luntur ketahanan diri dan iman ketika disogok selain mereka yang terdesak mahukan sesuatu, sanggup menyogok pihak tertentu dengan memberi rasuah.

Menerusi ayat 188 Surah al-Baqarah menunjukkan ALLAH SWT secara langsung memberikan peringatan bahawa orang-orang yang memberi rasuah dan memakan harta dengan cara yang salah sebenarnya sedia mengetahui perbuatan mereka adalah salah.

“Persoalan yang perlu dilontarkan ialah, walaupun manusia sedar perbuatan rasuah atau mengambil sebahagian daripada harta manusia itu berdosa, kenapa masih ada yang tergamak melakukan perbuatan keji tersebut.

“Oleh itu manusia wajib sedar dan disedarkan, tanpa iman yang kukuh, akal yang sihat, moral yang padu dan prinsip yang jitu, manusia mudah tergoda dengan umpan rasuah,” kata teks khutbah tersebut.

Menerusi khutbah tersebut, umat Islam dengan tegas perlu dididik dan diasuh untuk memiliki daya tahan dan kekuatan dalaman agar tidak mudah terjerumus dalam kancah rasuah.

Pada masa sama, pihak kerajaan dan agensi-agensi berkaitan hendaklah membuktikan kesungguhan memerangi dan menghapuskan rasuah bermula dengan para pemimpin menunjukkan contoh teladan yang baik, penguat kuasa melaksanakan tugas tanpa pilih kasih serta hakim dan mahkamah melakukan pengadilan berdasarkan hukum serta bukti tanpa gentar.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy