BeritaKonvoi #RasuahBuster bangkit kesedaran akar umbi

Konvoi #RasuahBuster bangkit kesedaran akar umbi

PUTRAJAYA – Kesedaran anti rasuah dibawakan secara besar-besaran melalui Konvoi #RasuahBusters bermula 9 Disember dan dijangka berakhir pada 1 April 2022 dengan misi melahirkan #MalaysiaTanpaRasuah.

Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub dalam kenyataan berkata, konvoi tersebut adalah manifestasi kebangkitan daripada rakyat untuk rakyat.

Menurutnya, melalui konvoi itu, ia memberi kesedaran kepada golongan yang salah guna kuasa, penipuan dan rasuah agar dapat dibersihkan daripada terus merosakkan institusi dan membantutkan perkembangan negara.

“Sudah sampai masanya rakyat menilai kesan-kesan rasuah yang memusnahkan sistem pendidikan, kesihatan dan ekonomi kita. Apabila kita terus menerus mengamalkan rasuah, kos akan bertambah.

“Ini akan menyusahkan diri dan menyebabkan negara akan lebih sengsara. Kita perlu hentikan budaya ini daripada terus menular. Perubahan mesti bermula dari akar umbi sendiri. Jangan minta dan terima wang daripada orang politik. Ini prinsip yang harus kita pegang,” katanya pada Khamis.

Sementara itu, menurut Penasihat Projek #RasuahBusters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah, konvoi tersebut melibatkan lebih 400 rakan gabungan dalam membawa misi menentang rasuah bagi memulihkan kestabilan politik, sosial dan ekonomi negara.

“Dengan berkumpulnya kita hari ini, kita sedang memahat satu sejarah kebangkitan umat manusia menentang rasuah. Di samping itu, kita mencipta satu tamadun di mana budaya kita akan berubah iaitu budaya tanpa rasuah.

“Di Malaysia, rasuah wajib ada untuk laksanakan semua perkara. Kalau tiada rasuah, susah untuk berjalan. Ini yang kita kena ubah. Budaya ini sedang menghantui kita,” ujarnya.

Menurut Ketua Penolong Kanan Pesuruhjaya Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Ab Muneim Ibrahim, Konvoi #RasuahBusters adalah langkah baik untuk membantu SPRM dalam perluaskan mesej kepada masyarakat.

Beliau mengharapkan agar konvoi tersebut mencapai sasarannya iaitu dapat memberikan mesej yang menyeluruh kepada semua masyarakat.

“Saya sebagai wakil SPRM ingin mengucapkan terima kasih kepada semua pihak terutama pihak Rasuah Busters yang terlibat dalam menjayakan konvoi ini.

“Ini langkah baik dalam usaha membantu kami dalam memperluaskan mesej antirasuah kepada masyarakat. Saya doakan konvoi ini selamat pergi dan balik serta berjaya menyebarluaskan mesej konvoi ini,” katanya.

Ketua Sekretariat #RasuahBusters, Nurhayati Nordin pula berkata, konvoi yang merupakan siri jelajah ke seluruh negara ini adalah sebuah kebersamaan rakyat dan pemegang taruh serta para pemimpin.

Jelasnya, usaha proaktif ini akan digunakan sebaiknya untuk mencari solusi dan mendengar pandangan pelbagai pihak.

“Kita mengharapkan pemulihan negara daripada wabak rasuah akan bergerak pantas melalui kebersamaan ini. Harus kita sedar bahawa yang dipertaruhkan adalah masa depan negara dan generasi kita.

“Kita sasarkan gerakan di peringkat akar umbi ini untuk membawa suara rakyat yang bangkit sebagai sebuah keluarga #MalaysiaTanpaRasuah,” ujarnya.

Menurutnya, konvoi #RasuahBusters akan diisi dengan pelbagai program kesedaran antirasuah, pertemuan dan perbincangan dua hala antara masyarakat, pihak berwajib, rakan-rakan NGO dan pemimpin seluruh negara dalam rangka kerja menyusun solusi pembanterasan rasuah di peringkat ekosistem.

Hadir sama di pelepasan Konvoi #RasuahBusters adalah Imam Besar Masjid Tuanku Zainal Abidin, Putrajaya, Nor Azamir Alias, pasukan teras dan lebih 30 gabungan #RasuahBusters.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy