BeritaKonvoi #RasuahBusters bermula 9 Disember

Konvoi #RasuahBusters bermula 9 Disember

SHAH ALAM – Misi menyampaikan mesej kesedaran membangun #NilaiMoralKarakterbangsa, Pasukan Rasuah Busters bersama lebih 400 ahli gabungan akan bersama dalam siri jelajah seluruh negara menerusi Konvoi #RasuahBusters yang akan bermula pada 9 Disember ini dan berakhir pada 1 April 2022.

Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, siri jelajah ke seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak akan bermula 9 Disember ini, bersempena Hari Antirasuah Antarabangsa yang disambut setiap tahun di seluruh dunia.

Katanya, Konvoi #RasuahBusters akan memulakan destinasi pertamanya di beberapa lokasi di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya bagi bertemu masyarakat setempat dan para pemegang taruh kepimpinan negara.

Menurutnya, Konvoi #RasuahBusters merupakan manifestasi komitmen rakyat bagi memerangi rasuah dengan menyampaikan mesej pendidikan dan kesedaran kepada rakyat di peringkat akar umbi.

“Konvoi #RasuahBusters adalah platform penting buat lebih 400 gabungan Rasuah Busters untuk turun bersama-sama sebagai solidariti tentangan terhadap isu rasuah, selain turut menyampaikan mesej-mesej rasuah mengikut bidang perjuangan organisasi masing-masing.

“Kita seluruh masyarakat berbilang kaum di negara ini tidak seharusnya berputus asa dalam usaha memerangi rasuah kerana perbuatan jijik ini merupakan ‘ibu’ kepada segala kemungkaran,” katanya kepada Kru Rasuah Busters pada Khamis.

Mengulas lanjut mengenai Konvoi #RasuahBusters di Selangor dan Wilayah Persekutuan Putrajaya, Nurhayati berkata, pelbagai aktiviti diadakan sepanjang empat hari tersebut termasuk sesi perkongsian rakan gabungan Rasuah Busters, program ‘Spot and Win, pertandingan kuiz serta acara permainan santai.

Selain itu katanya, penganjuran pertemuan meja bulat bersama pemimpin setempat dan masyarakat turut diadakan, sekali gus membuka peluang menyampaikan maklumat tentang rasuah serta bertukar pandangan agar satu jalan penyelesaian secara jitu dan berstrategi dapat dicapai.

Tambahnya, sokongan penuh daripada pihak Suruhanjaya Pilihan Rasuah Malaysia (SPRM) khususnya daripada Bahagian Pendidikan Masyarakat terhadap Konvoi #RasuahBusters apabila bersetuju mengadakan program pendidikan bersama masyarakat di lokasi-lokasi yang telah ditetapkan.

“Usaha menghapuskan norma rasuah bukan usaha satu malam atau sekadar ‘touch & go’, sebaliknya usaha memulihkan ekosistem memerlukan pendekatan holistik dan bersifat ‘menyemai’ agar pensejajaran misi dapat dibentuk secara organik.

“Maka tanggungjawab berat ini seharusnya digalas bersama agar kejayaan dapat dicapai, sekali gus mengembalikan semula kestabilan politik, ekonomi serta sosial demi kesejahteraan rakyat dan negara,” katanya.

Sementara itu, Ketua Penyelaras Jelajah Rasuah Busters, Mohd Shafiq Affandy Ali berkata, untuk destinasi pertama iaitu Lembah Klang, antara lokasi-lokasi yang akan dikunjungi ialah Pasar Tani MRR2, Kampung Pandan; Kuala Lumpur Sentral, Menara Kuala Lumpur; Malakat Mall, Cyberjaya; Pasar Pagi Tanjong Karang; Ibu Pejabat Polis Sabak Bernam dan Dataran Pantai Morib.

Katanya, di samping menyebarkan mesej kesedaran tentang rasuah, Konvoi #Rasuah Busters turut mengatur pelbagai aktiviti menarik untuk disertai orang ramai.

“Pelitup muka edisi khas dan plakad Rasuah Busters juga akan diedarkan kepada orang ramai di lokasi-lokasi yang ditetapkan sepanjang konvoi.

“Menerusi Konvoi #RasuahBusters, kami bergabung tenaga bersama orang ramai agar rasuah dapat dihapuskan demi kestabilan generasi akan datang,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy