BeritaKorupsi boleh berlaku di Parlimen

Korupsi boleh berlaku di Parlimen

SHAH ALAM – Sebagai sebuah cabang kuasa yang bertanggungjawab melakukan semak dan imbang kepada badan eksekutif negara, institusi Parlimen juga berisiko untuk terdedah kepada masalah rasuah.

Bekas Senator Mohd Yusmadi Mohd Yusoff berkata, rasuah politik yang berlaku di Dewan Rakyat boleh terjadi dalam tiga senario iaitu sogokan ketika sebelum pilihan raya, semasa proses pembuatan dasar kerajaan dan halangan kepada pemimpin muda negara.

Beliau yang juga bekas Ahli Parlimen Balik Pulau menjelaskan bahawa dalam senario pertama, rasuah boleh berlaku dalam bentuk sumber kewangan diberikan kepada calon yang bakal mengisi kerusi di Dewan Rakyat.

“Maksudnya ia merujuk kepada dana politik yang mereka peroleh. Ini kerana seseorang pemimpin tidak akan mampu menjadi wakil rakyat yang baik, efektif dan telus sekiranya sumber yang diterima akan mengganggu tugasan mereka.

“Senario kedua adalah ketika seseorang wakil rakyat itu dipilih menjadi seorang anggota menteri Kabinet. Di peringkat ini rasuah boleh dikatakan berlaku sekiranya segala keputusan yang dibuat adalah untuk kelangsungan kerajaan tersebut dan bukannya manfaat kepada rakyat,” katanya kepada kru Rasuah Busters baru-baru ini.

Senario ketiga pula, jelas beliau, apabila situasi politik di Dewan Rakyat terus dibelenggu dengan halangan feudalisme. dan antara tembok feudalisme dalam politik ialah dari segi kekuatan kewangan, latar belakang dan keturunan.

Menurut beliau, senario rasuah politik ketiga sekiranya dibiarkan berlaku bakal menyebabkan ramai pemimpin muda tidak dapat menonjolkan diri ke hadapan disebabkan kerana halangan tersebut.

Mohd Yusmadi yang juga bekas Ahli Jawatankuasa Khas Parlimen Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia memberitahu, rasuah politik perlu diberikan keutamaan untuk ditangani dengan segera sekiranya negara serius mahu menyelesaikan isu rasuah di negara ini.

“Ini kerana di Malaysia bukan macam di negara lain, semuanya adalah politikal. Kerajaan, perniagaan dan sosial pun sangat politik. Politik yang saya maksudkan adalah politik partisan.

“Sehinggakan pada pengalaman saya apabila berlaku transisi kerajaan contohnya di Pulau Pinang dulu, selama 60 tahun lebih parti politik dan kerajaan itu dianggap sama pada hal ia adalah perkara yang berbeza,” jelasnya.

Tambah beliau lagi, usaha untuk menangani rasuah politik juga perlu melibatkan komitmen tinggi daripada kesemua pimpinan tertinggi parti politik negara jika mahu ia mendapat impak yang lebih berkesan.

“Jika tidak, ia seolah-olah seperti kita main bola tetapi pemain bola kita tidak libatkan.

“Perkara ini tidak akan boleh berlaku sekiranya pemain atau pemegang taruh, dalam konteks ini pimpinan tertinggi parti politik tidak beri komitmen. Setakat hari ini saya tengok agenda pembasmian rasuah tidak melibatkan parti politik,” katanya.

Rasuah boleh berlaku dalam bentuk sumber kewangan diberikan kepada calon yang bakal mengisi kerusi di Dewan Rakyat.”

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy