BeritaKRPPM mahu pertingkat integriti, tadbir urus, cegah rasuah

KRPPM mahu pertingkat integriti, tadbir urus, cegah rasuah

Che Abdullah (tengah) mempengerusikan mesyuarat KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah di bangunan Parlimen pada Khamis.Ahli-Ahli KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah bergambar selepas mesyuarat di bangunan Parlimen pada Khamis.

KUALA LUMPUR – Kumpulan Rentas Parti Parlimen Malaysia (KRPPM) Integriti, Governan dan Anti Rasuah akan memastikan perubahan sistematik dan legislatif bagi mempertingkatkan integriti, tadbir urus serta pencegahan rasuah di Malaysia.

Pengerusi KRPPM Integriti, Governan dan Anti Rasuah, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, ia melalui gabungan kolektif ahli-ahli Parlimen, senator, masyarakat sivil dan pakar-pakar dalam bidang berkaitan.

“KRPPM menyasarkan kebebasan institusi kehakiman, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan memisahkan peranan Peguam Negara daripada peranan Pendakwa Raya.

“Penambahbaikan Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 juga adalah antara tumpuan KRPPM dalam usaha ini.

“Selain daripada itu, KRPPM mencadangkan penubuhan Jawatankuasa Pilihan Tetap Dewan Rakyat bagi SPRM dan SPR,” katanya kepada Sinar Harian di bangunan Parlimen pada Khamis.

Selain Che Abdullah, KRPPM ini dianggotai oleh Hannah Yeoh sebagai Timbalan Pengerusi; Fuziah Salleh (Setiausaha) dan Datuk Amiruddin Hamzah (Bendahari).

Ahli lain ialah Ahli Parlimen Penampang, Datuk Ignatius Darrel Leiking; Lukanisman Awang Sauni (Sibuti); Datuk Hasanuddin Mohd Yunus (Hulu Langat); Yayasan Sinar Untuk Malaysia #Rasuah Busters; Transparency International Malaysia; Institut Demokrasi dan Hal Ehwal Ekonomi (IDEAS), Centre to Combat Corruption and Cronyism (C4), PATRIOT dan UNDI 18.

**media[1903283]**

Turut menganggotai KRPPM, bekas Menteri Luar, Tan Sri Syed Hamid Albar, bekas Pengerusi Kumpulan CIMB, Tan Sri Mohamed Nazir Tun Razak; Ketua Pasukan #RasuahBusters, Datuk Hussamuddin Yaacub; Juruaudit, Shah Hakim Zain; Pengarah Urusan Zubedy (M) Sdn Bhd, Anas Zubedy; peguam, Christopher Leong, ahli ekonomi, Dr Terence Gomez dan pakar undang-undang, Maha Balakrishnan.

Tambah Che Abdullah, pihaknya turut melahirkan komitmen menyeluruh setiap anggota bagi memastikan ketelusan, akauntabiliti dan menyekat penyalahgunaan kuasa.

“Melalui penggubalan dan pemerkasaan dasar serta penambahbaikan polisi bersama program kesedaran dan advokasi kemasyarakatan yang berterusan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Hannah berkata, salah satu kelebihan KRPPM adalah turut dianggotai oleh masyarakat sivil.

“Mereka berkongsi kepakaran tentang topik ini dan kesedaran bagi menentang rasuah.

“Ia tidak hanya di dalam Parlimen, kini kita mempunyai masyarakat sivil bersama-sama dengan penggubal undang-undang,” ujarnya.

Hasanuddin pula menyifatkan dengan adanya KRPPM, ini menunjukkan satu perubahan besar dalam negara akan berlaku.

“Kerana selama ini badan bukan kerajaan (NGO) di luar Parlimen. Tetapi sejak akhir-akhir ini, ada dua tiga kumpulan yang kami bawa dan duduk bersama-sama kami ahli Parlimen. Bererti itu satu petanda yang baik untuk negara kita,” ujarnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy