BeritaKucing pilihan tepat sebagai ejen semai benci rasuah

Kucing pilihan tepat sebagai ejen semai benci rasuah

SHAH ALAM – Pemilihan ‘si bulus’ sebagai maskot antirasuah pasukan Rasuah Busters merupakan tindakan tepat terutama membentuk perspektif dan menyedarkan masyarakat tentang bahaya amalan jijik tersebut.

Seorang doktor veterinar, Dr Nur Syaza Syafiqah Saiful Izam berkata, kucing merupakan ciptaan Tuhan yang sangat disukai ramai kerana sifat manja dan penyayang.

Beliau yang juga Pengurus Cawangan di Ivet Pet Care berkata, lantaran sifat manja si bulus menjadikannya begitu dekat dengan manusia, seolah-olah sebagai sebahagian daripada ahli keluarga.

“Pemilihan kucing sebagai Ejen Meow #RasuahBusters adalah relevan dan berkait kerana haiwan ini begitu dekat dengan manusia. Ia sangat bersesuaian kerana kucing adalah haiwan yang comel dan unik.

“Maka satu tindakan tepat untuk mengingatkan orang ramai tentang rasuah apabila mereka memandang dan bermain dengan si bulus.

“Sebahagian besar masyarakat yang menyayangi kucing. Dengan menjadikan si bulus sebagai ejen antirasuah dalam kalangan masyarakat, ia bakal melebarkan lagi jaringan rakyat untuk membenci amalan rasuah,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran Ejen Meow #RasuahBusters yang diadakan di Kompleks Media Karangkraf, dekat sini.

Majlis pelancaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf.

Hadir sama ‘orang kuat’ gabungan Rasuah Busters, Anas Zubedy yang merupakan Pengarah Urusan di Zubedy (M) Sdn Bhd.

Mengulas lanjut, Nur Syaza berkata, hubungan rapat antara si bulus dengan manusia sukar dinyatakan dengan luahan kata, malah ada yang menitiskan air mata sekiranya kehilangan atau kematian si kucing tersayang.

Atas sebab itu katanya, pemilihan kucing sebagai Ejen Meow #RasuahBusters bakal memberi impak besar kepada masyarakat terutama dalam menyemai rasa benci kepada rasuah.

Menurut beliau, tidak ada peminat kucing yang sanggup untuk melihat haiwan kesayangannya mati kerana perbuatannya sendiri, begitu juga dengan masalah rasuah.

Jelasnya, tidak ada ibu bapa yang mahu anaknya atau generasi seterusnya musnah kerana amalan rasuah ekoran kezaliman diri sendiri.

Tambah Nur Syaza, individu yang mencintai kucing mempunyai rasa tanggungjawab terhadap haiwan peliharaannya.

Selain itu menurutnya, golongan pencinta kucing sanggup berkorban demi memastikan si manja mendapat segalanya untuk hidup sihat.

“Pencinta kucing adalah mereka yang mempunyai disiplin tinggi dan rasa tanggungjawab besar bagi memastikan si bulus mereka cukup makan serta sihat.

“Jadi inisiatif pasukan Rasuah Busters menjadikan si bulus sebagai Ejen Meow untuk simbol kempen #RasuahBusters adalah sangat bersesuaian untuk sebar mesej antirasuah.

“Ia boleh menarik perhatian sebahagian besar peminat kucing untuk menjayakan kempen Ejen Meow ini kerana kucing mempunyai daya penarik tersendiri,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy