Berita'Lantik ahli Dewan Negara secara terus oleh rakyat'

‘Lantik ahli Dewan Negara secara terus oleh rakyat’

SHAH ALAM – Mantan Speaker Dewan Rakyat menyarankan agar pemilihan ahli Dewan Negara dilaksanakan sama seperti memilih wakil rakyat yang dilantik secara terus oleh rakyat.

Tan Sri Mohamed Ariff Yusof berkata, hal ini kerana berlaku ketidakseimbangan apabila ahli Dewan Negara yang dipilih oleh eksekutif melalui Yang di-Pertuan Agong lebih ramai jumlahnya daripada yang dipilih oleh negeri.

Menurutnya, hanya 26 orang ahli Dewan Negara mewakili negeri berbanding 44 ahli yang dilantik melalui Seri Paduka Baginda.

“Tidak berlaku keadaan yang seimbang dan tidak demokratik bagi saya. Tiba masa kita harus ubah imbangan ini supaya orang yang dilantik secara terus akan menjadi majoriti di Dewan Negara.

“Saya sarankan yang dilantik secara terus merupakan individu yang dapat mewakili kehendak atau kepentingan negeri. Sebab idea asal iaitu harus ada ahli Dewan Negara untuk mewakili kelompok tertentu seperti orang asal dan penjagaan sudah tidak terpakai sekarang.

“Dalam Dewan Rakyat sekalipun, ramai yang boleh mewakili pelbagai kelompok awam. Misalnya, kita sudah ada wakil rakyat daripada orang asal, kelompok bisnes dan profesional.

“Jadi konsep lama perlu difikirkan kembali dan adakan sistem yang lebih demokratik. Lantik terus agar lebih demokratik, supaya ahli Dewan Negara mewakili rakyat jelata juga seperti mana wakil Dewan Rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa program Kompas Rasuah Busters bertajuk ‘Reformasi Parlimen Penentu Kestabilan Negara’ yang disiarkan di semua platform digital Sinar Harian pada Rabu.

Turut menjadi panelis ialah Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM), Badlishah Sham Baharin dan Ahli Parlimen Lembah Pantai, Ahmad Fahmi Mohamed Fadzil manakala Herleena Pahlavy bertindak sebagai moderator.

Mengulas lanjut, Mohamed Ariff berkata, negara harus melantik individu yang layak untuk menjadi hakim dan pakar tentang undang-undang sebagai usaha mengekalkan kedudukan badan kehakiman di Malaysia.

“Konsep pemilihan wakil rakyat dan hakim pun sama juga. Seorang hakim hendaklah bersifat telus, mempunyai kepakaran dan kualiti kenegaraan.

“Walaupun kita gunakan istilah yang lain tapi asasnya sama. Mereka mesti bersikap terbuka, jujur dalam menjalankan tugas,” jelas beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy