BeritaMahasiswa perlu berhati-hati terima sumbangan, dana

Mahasiswa perlu berhati-hati terima sumbangan, dana

SHAH ALAM – Mahasiswa dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati dalam menerima sumbangan atau dana daripada mana-mana pihak terutamanya ketika menjalankan sesuatu aktiviti di universiti yang dikhuatiri menyebabkan mereka secara tidak langsung terjebak dalam rasuah.

Felo Perdana Kementerian Kewangan Malaysia, Muhammad Khair Noor Hisham berkata, ia kerana dana yang terhad disediakan oleh pihak universiti bagi menjalankan aktiviti persatuan menjadikan pelajar menerima sebarang bentuk tajaan secara melulu tanpa memikirkan kesan pada masa akan datang.

“Apabila dana terhad, mereka akan mencari tajaan daripada pelbagai pihak termasuk dari golongan korporat mahupun politik.

“Namun apa yang penting mereka perlu sentiasa ada objektif dan berintegriti, tak salah untuk terima tajaan dari pihak mereka. Selidik dulu apa tuntutan yang diperlukan, sama ada mereka mempunyai agenda tertentu atau tidak. Sekiranya perkara tersebut salah, maka mereka kena berani untuk menolaknya,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam program Belia Benci Rasuah: Perintis Malaysia Bersih anjuran Malaysian Youth Anti-Corruption Taskforce (MYACT) yang dijalankan secara atas talian pada Jumaat.

Hadir sama pada program tersebut ialah Timbalan Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Mohamad Tarmize Abdul Manaf; Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin manakala Umar Aiman Zamri bertindak sebagai moderator.

Dalam pada itu, Muhammad Khair berpandangan, masalah rasuah dapat diselesaikan sekiranya orang ramai mempunyai kesedaran yang tinggi terhadap bahaya jenayah rasuah itu sendiri.

Jelasnya, kebergantungan kepada satu-satu pihak dalam menyelesaikan masalah ini juga dilihat akan merencatkan lagi usaha menangani jenayah tersebut.

“Untuk menangani jenayah rasuah, semuanya bermula dari kesedaran antara kita semua terhadap isu rasuah.

“Kalau kita nak harapkan setiap kesalahan ditangkap ketika ini, memang tidak cukup badan untuk melakukannya. Namun paling penting tindakan yang kita lakukan memerlukan kematangan untuk membezakan sesuatu tawaran itu adalah betul atau sebaliknya,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy