BeritaMalaysia mula bangkit lawan rasuah

Malaysia mula bangkit lawan rasuah

SHAH ALAM – Beri peluang untuk Malaysia bangkit dan berubah menjadi negara bersih yang maju tanpa rasuah.

Demikian seruan Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub yang mahukan Malaysia tidak lagi ‘dinaungi’ kumpulan pemimpin yang terpalit dengan budaya jijik rasuah dan salah laku kuasa.

Beliau yang juga Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, sudah tiba masa untuk rakyat secara sepenuhnya mengetepikan kumpulan pemimpin yang tidak berintegriti, sebaliknya ikhlas dalam memilih individu bersih sebagai pemimpin tanpa mengira parti.

Tegas beliau, rakyat perlu bangkit dan menyatakan keinginan terhadap perubahan Malaysia bersih tanpa rasuah dengan membuang sepenuhnya pemimpin terlibat dengan rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Penyelesaian kepada semua perkara ini datang daripada kita sendiri iaitu rakyat kerana kitalah yang memilih calon untuk menjadi pemimpin sama ada di peringkat cawangan, bahagian dan seterusnya di peringkat pusat.

“Pilihlah mereka (pemimpin) yang berintegriti tinggi, ikhlas berkhidmat dan bijak mengurus negara dengan mencari penyelesaian terbaik dalam apa jua masalah yang dihadapi rakyat serta negara tercinta.

“Jika kita memilih pemimpin korup dan kotor termasuk mereka yang terlibat dengan perbuatan rasuah, maka pemimpin seumpama itu akan mencari sumber pendapatan yang lebih bagi membiayai kesemua perbuatan kotornya itu,” jelasnya kepada kru Rasuah Busters.

Beliau berkata demikian sempena setahun kempen dan gerakan Rasuah Busters di Malaysia.

Tambah Hussamuddin, masyarakat diminta untuk sama sekali tidak menerima wang bagi memberi undi kepada golongan perasuah kerana ia adalah punca permasalahan yang berlaku kepada negara ketika ini.

Beliau memberitahu, rasuah berleluasa apabila adanya golongan pemberi dan penerima secara tanpa segan silu melakukan perbuatan itu secara terbuka termasuk di peringkat bawah.

Untuk itu, katanya, semua parti politik di negara ini perlu melakukan pembersihan dengan mengetepikan nama-nama pihak yang terpalit dengan isu rasuah dan penyalahgunaan kuasa.

Menurut Hussamuddin, dengan cara itu sahaja, Malaysia akan bebas daripada kumpulan pemimpin yang rakus dan tamak membolot kekayaan negara.

“Semua parti politik di negara ini perlu membuat perubahan besar-besaran dengan menggugurkan nama pemimpin yang terlibat dengan rasuah dan penyelewengan kuasa.

“Bagi mereka yang sudah lama berkhidmat tanpa mengira parti mana sekali pun, mereka sudah boleh undur diri bagi memberi peluang kepada golongan yang baharu memimpin.

“Namun sekiranya yang baharu juga terpalit dengan rasuah, kita juga mahukan mereka undur diri. Berilah ruang kepada Malaysia untuk kembali bangkit dan pilihlah pemimpin yang benar-benar bersih,” ujar beliau.

Sementara itu, Hussamuddin secara peribadi berpuas hati dengan kempen dan gerak kerja pasukan Rasuah Busters bersama rakan gabungan yang telah berusaha menyedarkan masyarakat tentang bahaya rasuah.

Katanya, penerimaan atau reaksi positif masyarakat umum terhadap usaha yang dijalankan oleh pasukan Rasuah Busters adalah sangat baik terutama dalam mengembalikan nilai moral karakter bangsa melalui ‘resetting’ atau penetapan semula nilai yang ada pada agama masing-masing.

“Rasuah sudah berakar umbi dan menjadi budaya, maka ia sukar untuk dicabut dan dibuang daripada masyarakat. Ia bukan satu kerja mudah.

“Namun sekarang, usaha menentang dan memerangi budaya rasuah telah berjaya kita mulakan terutama menyampaikan mesej antirasuah kepada kumpulan sasar.

“Maka selepas ini usaha berterusan dapat diterjemah kepada bentuk action (tindakan) daripada semua pihak termasuk ketua komuniti dan ketua agama masing-masing untuk menanam rasa benci terhadap rasuah, seterusnya masyarakat bertindak memindahkan nilai murni yang ada sebagai ‘operating system’ dalam kehidupan seharian,” kata beliau.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy