BeritaMerdekakan diri daripada penjajahan minda materialisme

Merdekakan diri daripada penjajahan minda materialisme

Seramai 64 pelajar dan 16 guru SMK Taman Sri Muda yang hadir dalam Bengkel The Champion 2.0 bergambar sambil menunjukkan ‘playcard’ Rasuah Busters. Gambar kecil: MagendranNurhayati ketika memberi ceramah berkenaan rasuah dalam sesi ceramah Mak Kata Jangan Rasuah pada Sabtu.

SHAH ALAM – Memerdekakan negara daripada rasuah adalah dengan memerdekakan diri daripada penjajahan minda materialisme, kata Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia (#RasuahBusters), Nurhayati Nordin.

Beliau menegaskan individu yang bermindakan materialisme atau kebendaan lebih cenderung mengutamakan kepentingan dunia dan mengambil hak orang lain dengan cara yang tidak betul.

Justeru katanya, rakyat Malaysia perlu kembali merujuk dan mengamalkan Rukun Negara sebagai panduan asas kehidupan.

“Dalam menghayati kemerdekaan, perkara paling pokok adalah dengan memahami rukun yang membina negara.

“Kita nak menjadi rakyat yang benar-benar merdeka bukan hanya dari sudut fizikal atau tarikh semata-mata tetapi merdeka minda sehingga boleh meletakkan diri pada satu tahap yang cukup dibanggakan negara, keluarga dan seluruh rakyat secara umumnya,” katanya ketika ditemui selepas sesi ceramah Mak Kata Jangan Rasuah yang diadakan pada Sabtu.

**media[1889061]**

Ceramah yang diadakan bersempena Bengkel The Champion 2.0 itu melibatkan seramai 64 pelajar Tingkatan Lima dan 16 guru Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Taman Sri Muda, Shah Alam.

Nurhayati menambah, atas inisiatif berterusan gerakan Rasuah Busters, pendedahan berkenaan rasuah sudah tersebar luas dalam kalangan pelajar sekolah.

Jelas beliau, pelajar kini mula mengambil penting penolakan rasuah sebagai antara nilai utama dalam proses pembelajaran.

“Rasuah bukanlah sesuatu yang terpisah daripada sistem pendidikan kerana seperti yang ditekankan, pembangunan sistem nilai individu adalah melalui pembentukan dan penerapan nilai moral karakter bangsa.

“Salah satunya adalah dengan kita mengangkat integriti dalam diri pelajar dan meletakkan kepentingan berlaku jujur, amanah serta tidak menipu sebagai asas menjalani kehidupan,” ujarnya.

Sementara itu, Pengetua SMK Taman Sri Muda, Datuk M Magendran berkata, pendedahan berkaitan rasuah yang diberikan dapat bantu menerapkan kesedaran sosial dalam kalangan pelajar terutamanya apabila mereka tamat alam persekolahan dan menghadapi dunia luar.

“Dengan ini, mereka akan tahu sejauh mana rasuah boleh menjejaskan kehidupan dan bagaimana seseorang yang terlibat dengan rasuah akan sengsara pada akhirnya,” jelas beliau.

Menyentuh mengenai bulan kemerdekaan, beliau yang juga rakyat Malaysia pertama menjejakkan kaki di puncak Gunung Everest pada 23 Mei 1997 berharap agar kemerdekaan yang dicapai dapat dijaga generasi akan datang.

“Janganlah kita mengambil mudah perjuangan pemimpin terdahulu yang bermati-matian menuntut kebebasan dan keamanan negara.

“Saya sentiasa mengingatkan anak-anak muda untuk sentiasa menyemai semangat patriotisme dalam diri mereka, tidak semestinya melakukan sesuatu yang luar biasa, cukup sekadar mematuhi peraturan yang ada dan menyemai semangat cinta akan negara,” jelasnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy