BeritaPejuang perangi rasuah jika menang PRN Johor

Pejuang perangi rasuah jika menang PRN Johor

MUAR – Agenda tolak rasuah bakal dilaksanakan oleh Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang) sekiranya berjaya mendapat mandat daripada rakyat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor kali ini.

Calon Pejuang bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Senggarang, Zalihah Jaffar berkata, sememangnya penubuhan parti Melayu itu memperjuangkan misi membanteras rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

Anak jati Muar itu berkata, perjuangan Pejuang adalah memastikan golongan pemimpin terlibat rasuah disingkirkan dan menjadikan negara bersih daripada rasuah serta salah guna kuasa.

Beliau yang merupakan seorang ahli perniagaan berkata, Pengerusi Pejuang, Tun Dr Mahathir Mohamad sendiri dengan jelas menolak budaya rasuah, malah bekas Perdana Menteri itu tidak memberi duit kepada rakyat sebaliknya menyediakan ‘peralatan’ kepada orang ramai mencari nafkah.

Tambahnya lagi, semua calon Pejuang yang bertanding di PRN Johor dikehendaki menjalani ujian psikometrik RBTag kendalian pasukan Rasuah Busters bagi memastikan mereka ikhlas berkhidmat kepada negara serta masyarakat.

“Semua ini jelas membuktikan Pejuang bersih daripada rasuah, malah misi parti Melayu ini berjuang memerangi isu rasuah dan salah guna kuasa di negara ini.

“Kami di Pejuang mahu hentikan kumpulan pemimpin yang gila kuasa dan tamak untuk terus menerajui pentadbiran negara, seterusnya digantikan dengan mereka yang ikhlas berkhidmat untuk rakyat.

“Sekiranya diberi peluang dan Pejuang berjaya menang pada PRN Johor, kita akan menggerakkan misi perangi rasuah dan salah guna kuasa,” katanya.

Beliau berkata demikian semasa menjadi panel Cafe Rasuah Busters On The Go yang berlangsung di La’farine Cafe, The Wood Boutique Hotel, dekat sini.

Bersama pengacara Sam Ghani, Zalihah membicarakan tajuk penting iaitu Kuasa Milenial.

Hadir sama pada majlis tersebut ialah ahli Pasukan Teras Rasuah Busters, Shah Hakim Zain.

Mengulas lanjut, Zalihah berkata, tsunami menolak parti terlibat rasuah telah berlaku pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) apabila anak muda menyatakan keinginan terhadap barisan kepimpinan bersih dan amanah.

Jelasnya, generasi muda mahukan sebuah perubahan terhadap kepimpinan tertinggi negara pada ketika itu.

“Perkara itu berjaya diterjemahkan apabila kerajaan lama runtuh dan digantikan dengan kerajaan baharu.

“Maka perkara sama juga kita mahukan pada PRN Johor kali ini. Kita sangat berharap semua orang keluar mengundi dan memilih Pejuang sebagai parti pilihan.

“Gunakan hak anda. Buktikan kuasa memilih anda semua untuk mengubah landskap politik negara dan memastikan negara bebas daripada budaya rasuah,” katanya.

Tegasnya, Pejuang adalah sebuah parti Melayu yang sepenuhnya menolak rasuah, malah semua barisan kepimpinan bermula daripada pucuk pimpinan, Tun Mahathir sehingga ke bawah menolak budaya rasuah yang jijik.

Untuk itu katanya, sekiranya rakyat mahukan perubahan dan melihat Malaysia bebas daripada rasuah serta salah guna kuasa, Pejuang adalah parti yang perlu diberi peluang memimpin negara.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy