BeritaPendidikan antirasuah untuk pelajar TVET pada September

Pendidikan antirasuah untuk pelajar TVET pada September

Razim – Foto Bernama
CHUKAI – Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melaksanakan pendidikan antirasuah menggunakan Modul Kursus Integriti dan Antirasuah (KIAR) untuk pelajar Pendidikan dan Latihan Vokasional (TVET) bermula awal bulan depan.

Pengarah Bahagian Pendidikan Masyarakat SPRM, Datuk Razim Mohd Noor berkata, proses penambahbaikan dan pengubahsuaian modul KIAR yang diolah daripada subjek sama di institut pengajian tinggi (IPT) itu, sudah siap sepenuhnya dan telah mendapat persetujuan pihak berkaitan.

Beliau berkata, pada masa ini kursus latihan untuk pelatih (training for trainers) sedang giat dilaksanakan bagi menyediakan tenaga pengajar yang berkemahiran.

“Kita perlu lakukan pengubahsuaian daripada modul asal yang digunakan di IPT kerana cara pemarkahan serta penilaian kepada pelajar-pelajar yang mengikuti kursus TVET ini nanti tidak sama dengan mahasiswa universiti,” katanya pada sidang media selepas majlis pelancaran Pelan Antirasuah Organisasi Steel Hawk Berhad di sini, pada Rabu.

Timbalan Pengerusi Steel Hawk Berhad, Datuk Sharman K.Michael hadir sama pada majlis tersebut yang turut menyaksikan 52 kakitangan syarikat itu melafaz ikrar bebas rasuah.

Selain penerapan antirasuah melalui modul, Razim berkata, pihaknya juga akan membawa bekas pesalah rasuah ke institusi TVET untuk berkongsi pengalaman dan hukuman yang diterima akibat jenayah tersebut.

Katanya, inisiatif itu bertujuan memberi kesedaran kepada golongan muda supaya tidak terlibat dengan rasuah yang boleh merosakkan masyarakat serta negara.

“Setakat ini dah ada bekas pesalah yang bersetuju dan rela hati untuk tampil ke hadapan berkongsi pengalaman dan kesan buruk rasuah kepada karier, keluarga dan masa depan mereka.

“Kita harap pendedahan sebegini dapat menyentuh lebih dalam ke hati golongan muda supaya tidak terjerumus dan melakukan kesilapan sama,” katanya. – Bernama

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy