More

    Pendidikan #MalaysiaTanpaRasuah

    MELAKA – Perjalanan kempen Rasuah Busters yang semakin aktif kini membawakan mesej benci rasuah ke sekolah-sekolah agar ia meniti dibibir pelajar seiring dengan pepatah ‘melentur buluh biar dari rebungnya᾿.

    Ketua Sekretariat Rasuah Busters, Nurhayati Nordin berkata, selain ibu bapa dan pemimpin, kelompok guru-guru yang memainkan peranan sebagai pendidik akan bersama- sama menyebar luas maklumat tentang isu rasuah kepada kanak-kanak dan remaja.

    “Pengukuhan nilai ke dalam diri pelajar perlu diberi penekanan supaya pendidikan moral ini menyentuh seluruh ekosistem termasuk dari peringkat kanak-kanak sehinggalah dewasa.

    “Kita perlu bersama dengan guru-guru yang merupakan acuan awal bagi penerapan tentang rasuah ini kepada pelajar-pelajar. Walau bagaimanapun teknik dan strategi yang betul harus digunakan oleh guru dalam mereka menyampaikan mesej berkenaan kejujuran integriti,” katanya dalam Majlis Agihan Bahan Kempen #RasuahBusters yang berlangsung di Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Melaka.

    Sementara itu, Ketua Penolong Pengarah Sektor Pembangunan Bakat Murid Jabatan Pendidikan Melaka, Azmi Osman berkata, pihak beliau menyokong sepenuhnya usaha Rasuah Busters dalam mengakari mesej anti rasuah dalam kalangan pelajar.

    “Kami di Sektor Pembangunan Bakat Murid akan bantu sehabis baik program sebegini yang membawa kebaikan kepada generasi akan datang terutamanya pada pelajar demi membina pembangunan sahsiah anak murid.

    “Mesej ini boleh diterjemahkan dalam aktiviti kelab persatuan, unit beruniform dan juga permainan namun haruslah melalui birokrasi dan prosedur yang betul,” ujarnya.

    Antara bahan kempen yang diserahkan kepada wakil lima buah sekolah yang terpilih itu ialah penanda buku, lencana butang, poster, pelitup muka dan pelekat kenderaan.

    Nurhayati menambah, Rasuah Busters menerima pelbagai pandangan konstruktif daripada wakil guru sepanjang majlis terbabit antaranya penghasilan puisi dan video yang dikira luar biasa supaya misi Pendidikan #Malaysia- TanpaRasuah tercapai.

    Wakil sekolah yang hadir ialah Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Menengah Kebangsaan Ayer Keroh, Azlan Mohd Yunus dan Guru Penolong Kanan Kokurikulum Sekolah Kebangsaan Kesang Tua, Reainah Jaafar.

    Selain itu, turut hadir ialah guru Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (C) Poh Lan, Belinda Boon Yen Lih, guru Sekolah Menengah Agama Jaim Assyakirin, Shahrul Nizam Yahaya dan guru Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (T) Rumbia, Priyadarsini Kangesu.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here