BeritaPendidikan rasuah segenap lapisan masyarakat fokus utama YARM

Pendidikan rasuah segenap lapisan masyarakat fokus utama YARM

SHAH ALAM – Kepimpinan baharu Yayasan Anti Rasuah Malaysia (YARM) mahu memberikan fokus terhadap usaha meningkatkan kesedaran rasuah melalui pendidikan kepada segenap lapisan masyarakat di dalam negara ini.

Presidennya, Mohd Nizam Mohd Isa berkata, untuk melaksanakan matlamat besar itu, pihaknya akan bekerjasama sebanyak mungkin dengan rakan strategik yang meliputi sektor swasta mahupun kerajaan melalui cawangan YARM yang berada di setiap negeri di seluruh Malaysia.

“Kami telah kenal pasti pihak yang mahu adakan kerjasama dan akan keluarkan surat bermula kepada menteri besar, jabatan kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tertentu termasuk kumpulan belia untuk bergabung.

“Kerjasama ini bertujuan bagi meluaskan pendidikan kesedaran antirasuah kepada segenap lapisan masyarakat di Malaysia. Kita mulakan dengan ini dulu,” katanya kepada Sinar Harian, pada Ahad.

Mohd Nizam berkata, usaha mencapai matlamat baharu itu turut dicerminkan melalui kepelbagaian latar belakang kesemua individu yang terpilih bagi menganggotai Jawatankuasa Tertinggi YARM bagi tempoh bermula 2022 hingga 2024.

Katanya, selain bersifat neutral, keanggotaan kepimpinan YARM juga meliputi individu yang memiliki kepakaran dalam bidang pendidikan, perundangan, perubatan dan pelbagai lagi sektor utama lain di Malaysia.

“Kepelbagaian ini penting bagi memastikan kita benar-benar dapat memacu matlamat ke arah yang betul, pada masa sama memberikan impak lebih berkesan dan menyeluruh dalam membantu negara menangani isu rasuah,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Nizam berkata, YARM memberikan perhatian terhadap usaha meyakinkan pihak berwajib supaya meluaskan pemantauan rasuah di setiap lapisan pentadbiran di dalam negara termasuk di peringkat majlis perbandaran dan daerah.

Katanya, penglibatan individu yang berpotensi mewujudkan konflik kepentingan dalam sesuatu organisasi perlu dihentikan supaya usaha pemantauan terhadap aktiviti rasuah dapat dijalankan dengan lebih berkesan.

“Sebagai contoh, ahli politik sepatutnya tidak boleh berada dalam majlis perbandaran atau daerah. Sebaliknya kita nak supaya NGO-NGO antirasuah ini ditempatkan di situ supaya pemantauan aktiviti rasuah dapat dilakukan dengan betul,” katanya.

Pada masa sama, Mohd Nizam berkata, pihaknya juga berusaha mendapatkan sebanyak mungkin maklumat berkaitan isu rasuah yang berlaku di dalam negara dan seterusnya menghasilkan dapatan daripada penemuan yang dilakukan.

“Kita nak cuba dalami apa sebenarnya yang menyebabkan kegiatan rasuah di dalam negara ini menjadi semakin teruk. Apa isu sebenar yang menyebabkan situasi ini. Adakah data sedia ada yang kita miliki ini tepat atau macam mana,” kata beliau.

Pada Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) YARM Ke-9, seramai 13 individu telah dipilih untuk menganggotai Jawatankuasa Tertinggi YARM 2022-2024 yang diketuai oleh Mohd Nizam selaku Presiden YARM.

Seramai kira-kira 120 orang ahli YARM termasuk pegawai iringan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) hadir dalam mesyuarat yang dijalankan di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), Putrajaya, pada Ahad.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy