BeritaPengundi muda sokong lawan rasuah

Pengundi muda sokong lawan rasuah

TINDAKAN agresif pasukan Rasuah Busters mendekati orang ramai terutamanya pengundi muda di Melaka bagi menyebarkan mesej antirasuah mendapat sambutan sangat baik.

Rata-rata anak muda yang ditemui di sini menzahirkan tanda sokongan dan memuji langkah diambil pasukan Rasuah Busters termasuk mengedarkan plakad dan pelitup muka kepada orang ramai.

Bagi Khairunnisa Samat, 29, pendekatan diambil pasukan Rasuah Busters bertemu secara bersemuka dengan orang ramai dan menyebarkan mesej antirasuah merupakan tindakan terpuji.

Dia yang menjalankan perniagaan barangan kecantikan wanita berkata, tidak ramai pihak yang sudi tampil bertemu secara langsung dengan orang ramai bagi membincangkan perkara seumpama itu.

Katanya, konsep berbual secara santai dan memberi peringatan kepada orang ramai betapa bahaya gejala rasuah adalah satu pendekatan baik terutama menjelang pilihan raya.“Perbuatan memberi hadiah terutamanya wang tunai kepada pengundi semasa kempen pilihan raya adalah satu bentuk rasuah dan ia salah.

“Pendekatan pasukan Rasuah Busters bertemu orang ramai untuk menyampaikan mesej antirasuah adalah satu tindakan tepat,” katanya pada Isnin.

Sementara itu, Nurmunirah Azizan, 25, berkata, usaha murni Rasuah Busters mendekati masyarakat bagi menyebar luas perjuangan menentang perbuatan rasuah merupakan agenda yang perlu disokong oleh orang ramai.

Menurutnya, kesedaran orang ramai terhadap rasuah perlu diperluaskan dan usaha mendekati masyarakat secara bersemuka perlu dipertingkatkan dari masa ke masa.

Dia yang menjalankan perniagaan kek berkata, perbuatan rasuah dalam kalangan masyarakat perlu dibanteras sepenuhnya kerana ia jelas meruntuhkan kredibiliti serta imej negara.

“Kita tidak mahu imej negara tercalar dengan perbuatan rasuah yang berleluasa dan rakyat menderita kerana banyak berlaku ketirisan di peringkat kerajaan,” katanya.

Bagi Zaim Jamal, 24, dia menyokong usaha yang dilakukan oleh pasukan Rasuah Busters mendekati kumpulan pengundi di Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bagi menyampaikan mesej antirasuah.

Anak jati Kampung Tampoi Kerubung, Melaka itu berkata, tindakan seumpama itu mampu menimbulkan kesedaran tentang betapa penting rakyat menolak pemimpin yang korup.

Menurutnya, mesej yang disampaikan Rasuah Busters adalah jelas dan mudah untuk difahami, selain dapat membantu mengingatkan rakyat agar tidak terjebak dengan apa-apa perbuatan yang boleh menjuruskan kepada amalan terkutuk itu.

“Semoga mesej antirasuah yang disampaikan akan menyedarkan kami rakyat Melaka untuk memilih pemimpin yang bersih dan terbaik pada PRN kali ini,” katanya.

Ikuti perkembangan semasa #PRNMelaka dan kenali calon anda menerusi pru.sinarharian.com.my

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy