BeritaPengurusan perolehan bidang risiko berlaku rasuah: Noraini

Pengurusan perolehan bidang risiko berlaku rasuah: Noraini

Noraini (tengah) bergambar bersama kakitangan dan jemputan.Noraini (tiga kanan) merasmikan OACP MPK 2022-2026 di Dewan Hamzah, Klang pada Khamis.

KLANG – Pengurusan perolehan merupakan suatu proses yang sangat penting dan merupakan bidang yang berisiko berlakunya rasuah serta penyelewengan.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Noraini Roslan berkata, nilai integriti dan akauntabiliti menuntut semua peringkat pegawai supaya sentiasa teliti dan telus dalam melaksanakan pengurusan perolehan.

“MPK telah berjaya membangunkan Pelan Anti Rasuah Organisasi (OACP) Majlis Perbandaran Klang 2022-2026.

“Di bawah Pelan OACP MPK, Majlis telah memfokuskan empat bidang keutamaan iaitu Tadbir Urus dan Pengurusan, Kewangan dan Perolehan, Perancangan dan Pembangunan serta Penguatkuasaan dan Pelesenan,” katanya pada Khamis.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan OACP MPK 2022-2026 di Dewan Hamzah di sini yang turut dihadiri Ketua Unit Pemeriksaan dan Perundingan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, PPj Azuan Adzhar.

**media[1902972]**

Dalam pada itu, Noraini berkata, pelaksanaan empat bidang keutamaan tersebut diterjemahkan kepada 46 pelan tindakan yang melibatkan semua jabatan, bahagian dan unit di MPK bagi tempoh lima tahun.

Menurutnya, inisiatif-inisiatif yang dirangka di dalam dokumen OACP MPK merupakan komitmen secara kolektif MPK untuk bersama-sama memastikan pihak berkuasa tempatan itu dikenali kerana integriti dan perkhidmatan cekap serta telus bukannya rasuah.

“Saya yakin bahawa visi OACP MPK iaitu Membentuk Warga Majlis Perbandaran Klang Yang Berintegriti dan Bebas Rasuah Ke Arah Bandaraya Diraja Dan Warisan Yang Mampan akan dapat dicapai sekiranya setiap warga MPK dapat membudayakan konsep pencegahan serta memelihara integriti dalam pelaksanaan tanggungjawab dan tugasan seharian.

“Ini termasuklah menolak amalan rasuah, penyelewengan dan penyalahgunaan kuasa,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy