BeritaPenilaian sistematik pastikan kursus integriti, antirasuah berkesan

Penilaian sistematik pastikan kursus integriti, antirasuah berkesan

SHAH ALAM – Penilaian sistematik perlu dilaksanakan bagi memastikan sukatan Kursus Integriti dan Antirasuah di institut pengajian tinggi (IPT) sepertimana diumumkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjadi lebih berkesan.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sinar Untuk Malaysia bagi pihak #RasuahBusters, Nurhayati Nordin berkata, langkah tersebut bertujuan mengukur hasil dan prestasi sekali gus memenuhi jangkaan sepertimana yang diharapkan.

Ujarnya, jangkaan itu merujuk kepada perkembangan positif hasil daripada pembelajaran silibus di peringkat IPT tersebut.

“Bagaimanapun pendidikan formal ini harus disokong oleh mekanisme pendidikan tidak formal. Ini sama pentingnya untuk mengurangkan potensi pembiakan rasuah dalam kalangan pelajar IPT.

“Sebenarnya ia memerlukan lebih daripada pendidikan formal untuk menangani masalah tersebut. Sokongan bersama daripada setiap peringkat ekosistem adalah penting bagi memupuk kesedaran dan nilai antirasuah di negara,” katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Mengulas lanjut Nurhayati berkata, melalui Undi18 yang diwartakan baru-baru ini, belia kini berpeluang mencorak masa depan dan landskap politik negara.

Justeru katanya, sebarang perkara berkaitan dengan rasuah sepatutnya diperkenalkan lebih awal lagi.

“Jadi ini mampu melindungi golongan tersebut terjebak dengan perkara yang menyalahi undang-undang,” katanya.

Pada Sabtu, Jawatankuasa Khas Kabinet Mengenai Anti-Rasuah telah memutuskan supaya Kursus Integriti dan Antirasuah diwajibkan di semua IPT bermula tahun depan.

Timbalan Ketua Pesuruhjaya (Pencegahan) SPRM, Datuk Seri Norazlan Mohd Razali berkata, kursus itu akan menjadi subjek yang sistematik dan berstruktur untuk pemahaman pelajar mengenai rasuah, di samping membolehkan mereka lebih peka dengan kesan rasuah yang bukan sahaja menjejaskan diri sendiri tetapi juga negara.

Selain itu, Norazlan turut memaklumkan bahawa berdasarkan data terkini pihaknya, seramai 275 belia berusia lingkungan 18 hingga 30 tahun ditahan atas kesalahan rasuah yang terdiri daripada 231 lelaki dan 44 wanita sejak 2020 hingga Jumaat.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy