BeritaPerlu ada rasa malu terlibat, sokong rasuah

Perlu ada rasa malu terlibat, sokong rasuah

SHAH ALAM – Individu yang terlibat dan menyokong mereka yang melakukan perbuatan rasuah seharusnya mempunyai sifat malu dalam diri sendiri.

Ketua Jawatankuasa Aktivisme Persatuan Belia Islam Nasional (Pembina), Muhammad Iqmal Haziq Nasharuddin berkata, kegiatan buruk tersebut sebaliknya perlu dihindari kerana ia bertentangan dengan agama.

“Belia juga tidak ketinggalan. Mereka perlu rasa malu kalau sokong individu yang terlibat rasuah. Mereka yang melakukan ini (rasuah) hanya untuk kepentingan diri mereka sendiri sahaja.

“Bukan itu sahaja, anak muda juga perlu bertindak. Bukan sekadar menolak rasuah tetapi perlu juga mendidik orang ramai untuk turut bersama mencegah rasuah ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Temu Mesra Rakan Gabungan #RasuahBusters yang diadakan di Kompleks Karangkraf, di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, beliau berkata, generasi muda juga perlu diberikan pendedahan dengan lebih jelas berkenaan perbuatan rasuah.

“Kena ajar bagaimana rasuah boleh menjatuhkan institusi negara. Di sekolah dan universiti perlu diberi pendedahan kepada pelajar tentang amalan buruk rasuah,” katanya.

Sementara itu, Presiden Persatuan Silat Seni Cekak Ustaz Hanafi Malaysia, Amrahi Buang berkata, media sepatutnya tidak menyiarkan sebarang berita terhadap individu yang telah disahkan terlibat dengan kes rasuah.

Jelasnya, sekiranya ia berlaku, ia mengakibatkan orang ramai beranggapan bahawa perbuatan rasuah adalah perkara biasa dan boleh dilakukan di negara ini.

“Di luar negara juga laksanakan perkara ini. Ia sangat memalukan jika negara kita masih memberikan ‘spotlight’ kepada perasuah. Kalau media masih keluarkan berita berkaitan dia (individu terlibat rasuah), ia akan memberi gambaran yang tidak betul. Perlu dikeluarkan daripada media,” ujarnya.

Tambah beliau, anak-anak juga perlu dididik dari kecil seperti tidak mengambil hak orang, menghormati orang tua dan sentiasa mematuhi janji bagi mengelakkan melakukan perbuatan rasuah ketika dewasa.

“Sebenarnya, paling penting ialah pembinaan karakter. Kena didik anak-anak untuk bercakap benar, hormati orang tua, patuhi janji. Kalau benda asas ini tidak boleh ikut, maka susahlah nanti,” ujarnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy