BeritaPertandingan anti rasuah uji pemahaman pelajar IPT

Pertandingan anti rasuah uji pemahaman pelajar IPT

SHAH ALAM – Bagi mengetahui pemahaman pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) tentang rasuah, dua buah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) telah menganjurkan pertandingan penulisan esei dan video pendek anti rasuah.

Dua NGO terbabit merupakan Pertubuhan Aspirasi Wanita Malaysia (ASWA) dan Persatuan Sahabat Wanita Prihatin (SWAP).

Pengerusi ASWA, Wan Azliana Wan Adnan berkata, pihaknya menganjurkan pertandingan itu kerana merasa bimbang terhadap golongan muda di negara ini tentang adakah mereka memahami mengenai rasuah.

“Bila saya tengok yang nak mengundi (dalam pilihan raya) ini ialah (mereka yang berumur) 18 tahun ke atas, kita merasa bimbang adakah mereka faham apakah itu rasuah.

“Jadi kita nak mereka terlibat sama (dalam pertandingan dianjurkan). Kita nak (tahu) pemahaman mereka setakat mana.

“Bila kita buat pertandingan ini dalam kalangan pelajar IPT, memang saya tengok mereka faham,” katanya kepada Sinar Harian selepas majlis penyampaian hadiah pertandingan penulisan esei dan video pendek anti rasuah pada Khamis.

Pertandingan ini dibuka untuk penyertaan pelajar IPT di negara ini bermula pada Januari sehingga Mac 2021.

Untuk pertandingan penulisan esei, ia bertemakan ‘Rasuah: Penyakit Yang Wajib Diubati’ manakala pertandingan video bertemakan ‘Rasuah Jenayah Yang Merosakkan Kemanusiaan’.

Bagi pertandingan penulisan esei dimenangi oleh pelajar jurusan pentadbiran perniagaan Universiti Teknologi Mara (UiTM), Elmer Marius manakala pertandingan video dimenangi pelajar Universiti Multimedia (MMU), Muhammad Firdaus Kamalruzaman.

Kedua-dua pemenang tempat pertama ini masing-masing menerima komputer riba yang disampaikan oleh Wan Azliana.

Dalam pada itu, mengulas mengenai kemenangannya dalam pertandingan penulisan esei, Elmer berasa terkejut kerana dipilih sebagai pemenang dalam kategori berkenaan.

Menurutnya, pertama kali dia menyertai penulisan esei yang bertemakan tentang rasuah.

“Idea yang timbul bagi penulisan esei saya adalah daripada pembacaan dan perkara-perkara (rasuah) yang dilaporkan di dalam berita sebelum ini,” katanya.

Pemenang kategori video, Muhammad Firdaus pula tidak menjangka bahawa dia akan memenangi dalam kategori itu.

“Alhamdulillah rezeki tidak disangka-sangka. Kalau tak silap saya, banyak juga penyertaan dan saya rasa bersyukur atas kemenangan ini,” katanya.

Dia dalam masa yang sama turut berharap kegiatan rasuah di negara ini akan berkurangan.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy