BeritaPesalah rasuah perlu dihukum lebih berat

Pesalah rasuah perlu dihukum lebih berat

SHAH ALAM – Kerajaan perlu lebih serius dalam menangani isu rasuah dan salah guna kuasa yang berlaku di negara ini sama ada di peringkat sektor awam mahupun swasta.

Presiden Kelab Kucing Malaysia, Khalid Rashid berkata, ia penting bagi memastikan sesiapa yang terlibat dengan rasuah perlu dihukum dengan sewajarnya termasuk individu yang mempunyai jawatan penting seperti pemimpin politik ataupun pegawai tinggi.

“Jangan membiarkan ikan jerung terlepas dan ikan bilis sahaja yang terkena.

“Dalam soal ini sesiapa pun yang terlibat dengan rasuah harus diberi hukuman sewajarnya. Ini termasuk orang yang mempunyai jawatan tinggi,” tegasnya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Menurut Khalid, desakan hidup menjadi punca seseorang individu itu sanggup mengambil risiko terjebak dengan rasuah.

“Bagi mereka yang berada di peringkat bawahan dalam skala sosial, mungkin mereka benar-benar memerlukan wang tambahan.

“Berbeza pula dengan golongan kaya, mereka tamak tidak pernah bersyukur dengan apa yang ada. Mereka juga mahukan kuasa dan nama, jadi sanggup terjebak dengan rasuah demi mencapai segala cita-cita mereka,” katanya.

Sebelum ini, Khalid turut menyertai misi pelancaran Ejen Meow #Rasuah Busters, anjuran pasukan Rasuah Busters yang dianggotai lebih daripada 500 rakan gabungan seluruh negara sebagai satu lagi usaha meningkatkan kesedaran agar masyarakat bertindak menolak rasuah.

Justeru, beliau berharap semua pencinta kucing dapat memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi minat dan karakter kucing yang bertanggungjawab serta setia kepada tuannya, sekali gus mengajar rakyat untuk memastikan negara tidak dikhianati oleh pemberi dan penerima rasuah.

“Kita perlu menolak kepimpinan rasuah yang menjadi punca kepada ketidakstabilan politik dan juga ketirisan dalam sistem tadbir urus.

“Pada masa sama, ia juga dapat menyumbang kepada pemulihan negara ke arah sistem demokrasi yang berpaksikan kuasa rakyat,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy