More

    PH tiada kompromi reformasi institusi pentadbiran negara

    SHAH ALAM – Pakatan Harapan (PH) tidak akan berkompromi dalam memastikan tuntutan terhadap reformasi sistem pentadbiran di negara ini direalisasikan termasuk perubahan bagi membebaskan institusi penting kerajaan daripada pengaruh politik.

    Ahli Parlimen Seremban, Anthony Loke Siew Fook berkata, beliau melihat dengan adanya memorandum persefahaman (MoU) bersama kerajaan, dapat memperluaskan lagi peluang perubahan yang diingini.

    “Dalam PH, perlu terima cabaran tentang harapan rakyat yang mahukan reformasi institusi demi perubahan ke arah yang lebih baik.

    “Kita mesti bawa perkara ini dan jangan bimbang, kita tidak akan sesekali berkompromi dengan nilai dan budaya kita. Walaupun kita adalah pihak yang tandatangan MoU dengan kerajaan, saya yakin segala yang dibuat demi kepentingan rakyat.

    “Walaupun MoU itu ada perkara-perkara yang terhad, tetapi ia tidak bermakna kita tidak boleh bincangkan perkara-perkara lain.

    “Peluang tetap ada, jadi kita perlu lihat ke arah lebih positif, apabila ada kerangka ini, maka perubahan itu akan dapat diperluaskan dan kita akan cuba,”katanya pada Rabu.

    Beliau berkata demikian semasa Program Kompas Rasuah Busters Jangan Khianat: Henti Campur Tangan Dalam Institusi Negara yang disiarkan di semua platform Sinar Harian.

    Turut menjadi panelis, Ahli Parlimen Semporna, Datuk Seri Shafie Apdal dan Presiden Transparency International Malaysia (TI-M), Dr Mohammad Mohan manakala Dr G Manimaran bertindak sebagai moderator.

    Program itu antara lain membincangkan tuntutan perubahan yang ditekankan membabitkan kebebasan dan ketelusan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

    Mengulas isu berkenaan, Anthony yang bersetuju dengan tuntutan berkenaan menyifatkan kebebasan daripada pengaruh politik juga harus diwujudkan dalam Suruhanjaya Pilihanraya (SPR).

    “Ini penting kerana sistem pentadbiran kita berlandaskan demokrasi berparlimen.

    “Jadi, untuk memastikan kerajaan dan politik kita dapat dihasilkan melalui satu sistem pilihan raya bebas dan adil, maka pengadil juga perlu dilihat adil menerusi perubahan sistem pelantikan pengerusi dan ahli-ahli SPR yang lebih telus,”katanya.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here