BeritaPilih calon berintegriti melalui ujian RBTag

Pilih calon berintegriti melalui ujian RBTag

SHAH ALAM – Agenda membersihkan negara daripada amalan rasuah dan salah guna kuasa boleh dipertingkatkan menerusi ujian psikometrik Rasuah Busters Tag (RBTag) terutama menjelang sesi pilihan raya negeri (PRN) atau pilihan raya umum (PRU) yang bakal berlangsung tidak lama lagi.

Penasihat Projek Rasuah Busters, Datuk Muhammad Nasir Hamzah berkata, ujian RBTag sangat penting kepada calon-calon yang akan bertanding pada PRN atau PRU nanti bagi memastikan sama ada mereka benar-benar layak atau sebaliknya untuk memikul tugas sebagai pemimpin berintegriti tinggi.

Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pengarah Kumpulan Karangkraf berkata, ujian RBTag bagi mengukur kecenderungan seseorang berkaitan isu integriti yang menjurus kepada perlakuan salah guna kuasa dan rasuah wajar dilaksanakan di negara ini terutama dalam usaha memerangi budaya rasuah.

Tegasnya, bukan sahaja perlu dilakukan oleh setiap pemimpin daripada peringkat akar umbi hingga ke atas, malah ujian ini juga harus dilaksanakan kepada golongan pentadbir di peringkat bawahan.

“Saya amat yakin sekiranya ujian RBTag ini dapat dilaksanakan di semua peringkat pemilihan pemimpin tidak kira calon di PRN, PRU dan pentadbir di peringkat bawahan, masalah rasuah serta salah guna kuasa akan dapat diatasi sejak awal pemilihan mereka.

“Ini sangat baik untuk memastikan mereka mempunyai integriti tinggi dan benar-benar ikhlas berkhidmat untuk negara, sekali gus membebaskan masyarakat daripada budaya rasuah.

“Untuk itu, saya sangat berharap agar pihak kerajaan dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dapat memastikan ujian ini dapat dilakukan ke atas semua calon yang bertanding terutama di PRN Johor,” katanya kepada kru Rasuah Busters.

Ujian sistem Psikometrik RBTAG Rasuah Busters merupakan kerjasama pasukan Rasuah Busters bersama Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF).

Muhammad Nasir berharap, semua calon yang bertanding pada PRN Johor diharap dapat mengambil peluang untuk melakukan ujian RBTag bagi menambah nilai diri semasa bertanding nanti.

Beliau memberitahu, bukan sahaja dapat membuktikan tahap integriti masing-masing, malah ujian itu juga akan menguatkan semangat untuk menjadi pemimpin yang bersih daripada amalan rasuah atau salah guna kuasa.

Menerusi ujian itu juga, tambah beliau, orang ramai dapat menilai dan memberi kepercayaan sepenuhnya kepada calon lantaran keberanian melakukan ujian yang penting itu.

Sementara itu, Pengerusi MCCF, Datuk Seri Halim Ishak berkata, RBTag dibangunkan oleh sekumpulan profesor atau doktor yang merupakan psychometrician, psychologist dan statistician daripada tiga buah universiti tempatan.

Menurut Halim, RBTag diolah berasaskan nilai dan psikologi masyarakat Malaysia yang berbilang kaum, agama dan budaya, selain mengukur 10 tret personaliti berdasarkan kepada situasi.

Jelas beliau, ujian RBTag membekalkan data saintifik yang berbentuk evidence-based assessment tentang kecenderungan seseorang ke arah salah salah guna kuasa dan rasuah.

Tambah beliau, RBTag mempunyai nilai sah dan kebolehpercayaan melebihi nilai alpha coeficient 0.90 hingga 0.95.

Ujian psikometrik telah diamalkan oleh negara-negara yang berada di kedudukan 20 teratas berdasarkan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) termasuk negara jiran Singapura.

Kata Halim, MCCF dan Rasuah Busters mempunyai pengalaman mengendalikan ujian psikometrik bukan saja kepada agensi kerajaan, organisasi swasta tetapi juga institusi pengajian tinggi.

“Ia juga dilaksanakan bersama Polis DiRaja Malaysia, polis bantuan serta Pengawal Peribadi Baharu Malaysia.

“Terbaharu adalah pelaksanaan RBTag pada PRN Melaka, baru-baru ini. Ia dikendalikan secara dalam talian,” katanya.

Sebarang maklumat lanjut boleh menghubungi talian 03-61786093 atau 012-7869261 dan menghantarkan email ke [email protected] bagi pertanyaan dan pendaftaran.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy