More

    Rasuah berleluasa apabila tiada lagi perasaan malu

    SHAH ALAM – Tanpa ada perasaan malu dalam diri disifatkan sebagai punca utama individu terjebak dengan amalan rasuah yang kini semakin membarah di dalam masyarakat.

    Yang Dipertua Yayasan Sofa, Mohd Hanif Hamid berkata, hilangnya sifat malu merupakan sebab utama berlakunya gejala rasuah pada diri seseorang individu.

    Menurut beliau, tanpa ada sifat malu dalam diri, maka seseorang itu mudah melakukan perbuatan mungkar termasuk memberi serta menerima rasuah secara terbuka dan tidak lagi berselindung.

    Tegas beliau, perasaan malu sebenarnya tembok penghalang manusia daripada melakukan kemungkaran kerana akan memikirkan bakal dipersoalkan oleh Tuhan pada hari akhirat kelak.

    Beliau menegaskan, tanpa perasaan malu merupakan punca amalan rasuah semakin membarah di dalam masyarakat tanpa mengira kaum dan agama.

    “Apabila luputnya perasaan malu dalam diri, maka seseorang itu tanpa segan silu akan terlibat dalam rasuah sama ada memberi atau menerima.

    “Atas sebab itu, kami di Yayasan Sofa sangat menitik berat terhadap pembinaan sahsiah pelajar agar sentiasa berakhlak mulia dan malu kepada ALLAH SWT sekiranya melakukan kemungkaran.

    “Justeru, apabila pelajar ini berada dalam masyarakat dan seterusnya memegang jawatan dalam organisasi, mereka sudah terdidik dengan akhlak mulia serta jati diri tinggi,” katanya kepada kru Rasuah Busters, baru-baru ini.

    Sementara itu, Pengerusi Persatuan Penyelidik Dakwah Malaysia, Mohd Fuaad Abdullah Rahim berkata, kebaikan dan ketakwaan adalah perkara yang paling utama dalam memastikan harta diperoleh adalah daripada sumber halal.

    Tambahnya, akibat kerakusan mengumpul harta serta kemewahan dunia menyebabkan seseorang itu sanggup mengenepikan soal halal dan haram.

    Malah menurutnya, perasaan malu sanggup dibuang atau diketepikan sementara bagi memastikan dirinya mendapat habuan daripada amalan rasuah.

    “Kita bukan sahaja dituntut untuk melakukan kebaikan tetapi juga dituntut untuk menjauhi melakukan maksiat atau perkara buruk.

    “Islam memandang rasuah sebagai satu dosa besar, malah penyakit yang semakin membarah di dalam masyarakat dan merosakkan segala ekososial masyarakat.

    “Semua ini berlaku apabila manusia sudah tidak lagi mempunyai perasaan malu untuk melakukan maksiat dan dosa-dosa besar,” katanya.

    Latest articles

    Related articles

    Leave a reply

    Please enter your comment!
    Please enter your name here