BeritaRasuah Busters jadikan kucing elemen sebar luas mesej antirasuah

Rasuah Busters jadikan kucing elemen sebar luas mesej antirasuah

SHAH ALAM – Penerimaan masyarakat terhadap sifat manja dan mudah didekati mendorong Rasuah Busters mengangkat kucing sebagai elemen membawa mesej antirasuah kepada masyarakat berdasarkan karakter yang dimiliki haiwan itu.

Ketua Pasukan Teras Rasuah Busters, Datuk Hussamuddin Yaacub berkata, Ejen Meow yang diperkenalkan pasukan itu dilihat mampu menjadi medium pendidikan ihsan dalam jiwa masyarakat dengan membina empati dan sifat penyayang demi menyelamatkan negara dari rasuah.

“Tragedi rasuah semakin teruk di Malaysia, nak harapkan orang dah tak boleh. Justeru kita cari formula lain untuk menggerakkan mesej antirasuah.

“Kita harapkan pencinta kucing dapat memberi kesedaran kepada masyarakat menerusi minat dan karakter kucing yang bertanggungjawab dan setia kepada tuannya sekali gus mengajar kita untuk memastikan negara tidak dikhianati oleh pemberi dan penerima rasuah.

“Saya harap Ejen Meow boleh menguar-uarkan kempen ini supaya semua orang ada kesedaran dan tanggungjawab terharap isu yang semakin parah ini,” katanya pada Majlis Pelancaran Ejen Meow Rasuah Busters di Kompleks Karangkraf pada Khamis.

Mengulas lanjut, Hussamuddin berkata, ‘soft approach’ menerusi belaian kasih sayang terhadap binatang peliharaan khususnya kucing boleh diterapkan ibu bapa dalam mendidik anak-anak membenci pemberi atau penerima rasuah dalam kalangan ahli keluarga.

“Pendekatan itu mampu memutuskan rantaian rasuah bermula dari rumah, jangan ‘biak’ yang baharu. Semangat kucing yang penyayang, taat dan setia serta belaian pemilik kucing boleh sampaikan mesej berkenaan,” tegas beliau.

Sementara itu Pasukan Teras Rasuah Busters, Anas Zubedy memberitahu, Ejen Meow merupakan platform penyebaran mesej anti rasuah kerana keunikan haiwan itu.

Tambah beliau, menerusi video atau gambar kucing menggunakan kapsyen dan nasihat anti rasuah mampu mewujudkan keadaan efektif dan efisien dalam penyampaian mesej berkenaan.

“Saya menyeru rakyat Malaysia untuk menjadikan kucing mereka sebagai Ejen Meow Rasuah Busters bagi menyampaikan mesej anti rasuah kepada masyarakat.

“Kita akan menjalin kerjasama dengan pelbagai persatuan kucing dan lakukan pelbagai aktiviti atau pertandingan bagi menarik minat lebih ramai pemilik haiwan untuk menyokong Rasuah Busters melalui Ejen Meow,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy