BeritaRasuah Busters menang Pingat Perak Dragons of Malaysia 2021

Rasuah Busters menang Pingat Perak Dragons of Malaysia 2021

SHAH ALAM – Kerja keras pasukan Rasuah Busters menyampaikan mesej antirasuah kepada umum mendapat perhatian pihak antarabangsa apabila dianugerahkan Pingat Perak untuk Dragons of Malaysia 2021 anjuran sebuah syarikat pengiklanan di Australia.

Pasukan Teras Rasuah Busters, Prof Harmandar Singh berkata, kempen pemasaran antirasuah menerusi video klip ‘Mak Kata Jangan’ berjaya meraih Pingat Perak bagi segmen impak terbaik, pemasaran amal dan kempen sektor awam.

Beliau yang juga pensyarah sambilan di Taylor University Lakeside Campus memberitahu, kejayaan manis Rasuah Busters dalam penganugerahan The Dragons of Malaysia 2021 merupakan satu penghargaan dan kebanggaan buat semua petugas yang telah berusaha sebaik mungkin untuk menyampaikan mesej antirasuah kepada seluruh masyarakat, sekali gus memerangi amalan keji tersebut daripada terus berleluasa.

Beliau yang merupakan tonggak kepada penghasilan video klip ‘Mak Kata Jangan’ menegaskan, kemenangan tersebut merupakan titik awal dan pembakar semangat buat pasukan Rasuah Busters yang akan terus berjuang memerangi amalan rasuah di negara ini.

“Banyak lagi cabaran dan rintangan yang perlu ditempuhi Rasuah Busters bagi mencapai misi memperjuang rasa benci masyarakat terhadap amalan rasuah dan perbuatan penyelewengan kuasa.

“Pencapaian memperoleh Pingat Perak pada penganjuran Dragons of Malaysia 2021 merupakan satu kejayaan kecil pasukan kerana impian besar kami di dalam Rasuah Busters adalah untuk melihat Malaysia bebas daripada amalan rasuah,” tegasnya kepada kru Rasuah Busters pada Isnin.

Program Pengiktirafan Komunikasi Pemasaran Dragons of Malaysia 2021 yang memasuki peringkat akhir itu menyaksikan akhbar Sinar Harian menerusi Rasuah Busters berjaya merangkul tempat kedua untuk kategori pengiklanan berimpak besar.

Kempen ‘Mak Kata Jangan’ merupakan penghasilan video-video padat dengan saranan dan nasihat tentang bahaya rasuah yang telah mendapat pandangan bernas daripada Pasukan Teras Rasuah Busters.

Kejayaan yang dicapai Rasuah Busters itu diumumkan oleh Dragons of Asia baru-baru ini, meskipun majlis penganugerahan kemenangan yang sepatutnya diadakan di Kuala Lumpur namun gagal dilaksanakan susulan penularan Covid-19.

Pengalaman luas Harmandar dalam penerbitan iklan komersial di dalam dan luar negara telah berjaya menghasilkan kempen ‘Mak Kata Jangan’ dan mencetuskan penerimaan luar biasa daripada seluruh rakyat Malaysia yang berbilang kaum.

Mengulas lanjut, Harmandar menjelaskan, sejak tahun 2000, Dragons of Asia telah mengiktiraf komunikasi pemasaran terbaik yang berjaya dihasilkan oleh agensi-agensi dan para pelanggan merentasi semua negara di Asia.

Katanya, kempen anugerah Dragons of Asia melibatkan beberapa disiplin yang telah ditetapkan termasuk sektor pemasaran.

Jelasnya, sebanyak 112 orang juri telah dipilih bagi menentukan siapakah yang layak memenangi kategori-kategori yang dipertandingkan dan pemilihan juri-juri tersebut adalah daripada agensi-agensi bertauliah dan mempunyai kredibiliti tinggi dari seluruh Asia Pasifik.Namun begitu, menurut Hasmandar, disebabkan isu Covid-19 yang melanda seluruh dunia, kesemua kategori yang dipertandingkan berkenaan terpaksa dinilai secara dalam talian.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy