BeritaRasuah dalam bisnes sudah jadi budaya

Rasuah dalam bisnes sudah jadi budaya

SHAH ALAM – Amalan rasuah dalam perniagaan sudah menjadi budaya dalam kalangan masyarakat di negara ini bagi memudahkan urusan serta mendapat manfaat tertentu.

Ketua Penerangan Pertubuhan Warisan Melayu Negeri Johor (Warisan), M Arif Kataman berkata, pemberi rasuah kebiasaannya menawarkan ‘ganjaran’ dalam pelbagai bentuk sama ada dari segi kewangan, harta, kemudahan dan pangkat kepada individu-individu tertentu yang mempunyai kedudukan atau pengaruh.

“Aktiviti seperti ini bukan sahaja terlibat dalam kerajaan, sektor swasta pun sama juga.

“Golongan-golongan yang ada kuasa ini mereka melihat kepada duit sahaja dan mereka (mudah) terdorong dengan gaya hidup yang mewah. Jadi mereka buat (rasuah),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Mengulas lanjut, M Arif berkata, kegiatan rasuah itu juga boleh mendorong kepada penyalahgunaan kuasa dalam sesebuah organisasi.

Menurutnya, apabila berlaku salah guna kuasa, ia menyebabkan hak-hak orang lain dalam sesuatu projek dinafikan.

“Sebab itu saya katakan, kalau rasuah ini dibiarkan berleluasa, menjadi budaya, akhirnya majoriti golongan Melayu akan tertindas, terpinggir dan tertinggal dari segi arus pembangunan,” ujarnya.

Dalam pada itu, M Arif turut berpandangan bahawa inisiatif Sinar Rasuah Busters merupakan gerakan positif yang dapat membantu memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai bahaya rasuah.

“Jadi, ini adalah sesuatu perkara yang dapat membersihkan kita daripada ancaman-ancaman ketidakstabilan khususnya untuk orang-orang Melayu.

“Sebab aktiviti-aktiviti rasuah ini adalah perkara yang sentiasa tidak seimbang. Semua ada duit sentiasa menyogok pihak-pihak tertentu, sehingga ruang untuk melakukan rasuah itu sentiasa ada (wujud),” jelasnya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy