BeritaRasuah dalam jubah juga perlu ditangani

Rasuah dalam jubah juga perlu ditangani

PERLIS – Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin, menegaskan ‘rasuah dalam jubah’ di negara ini juga perlu ditangani dengan betul.

Menurutnya, ia membabitkan pengurusan agama termasuk dalam soal berurusan dengan individu-individu yang mengangkat golongan agama.

“Dalam pengurusan agama, ada unsur-unsur (rasuah) yang sama. Pemberian-pemberian yang melancarkan..yang mana dengan pemberian itu berlaku ketidakadilan dalam pengurusan. Hatta golongan yang mengangkat golongan agama..Bila kita betul-betul berurusan dengan mereka, kita akan tahu.

“Urusan ceramah mungkin tak timbul..urusan (bernilai) RM10,000 atau RM20,000 mungkin tak timbul. Tapi kalau ratusan juta, kita akan lihat ‘tol’ di sana sini,” katanya ketika menjadi tetamu undangan Program Kafe Rasuah Busters (RB) sempena Konvoi RB (Utara) di sini pada Isnin.

Pada masa sama beliau turut menyentuh mengenai budaya pemberian wang yang ditukar dalam bentuk pahala bagi melakukan urusan ibadah sehinggakan urusan kematian juga perlu diberikan wang untuk tujuan bacaan (al-Quran) dan sebagainya.

Situasi tersebut turut dikaitkan dengan isu pengurusan jenazah yang terpalit dalam isu rasuah.

“Mati pun kena bagi duit kepada orang lain untuk sedekahkan bacaan kepada dia. Bukan soal bacaan tak sampai, itu soal lain.

“Tapi soal bayar berapa kepada tok imam membolehkan tok imam buat sembahyang, buat kenduri tahlil dan sebagainya.. Maksudnya pemberian wang ditukar dalam bentuk pahala.

“Kalau pemberian wang dalam bentuk sedekah itu jelas. Tapi pemberian wang kepada manusia itu yang dikritik oleh Zaaba (Tokoh ilmuan, Zainal Abidin Ahmad),” katanya.

Tambah beliau lagi, agama juga kini dilihat mempunyai potensi pasaran yang besar menyebabkan ramai yang mahu menjadi popular dan mempunyai kedudukan dalam agama.

“Apabila ada kedudukan dalam agama, maka ada pasaran, maka sebab itu digunakan gambar ustaz..kutip derma dengan imej agama..ada yang betul, ada yang tak betul. Tapi kerana semua itu, pada akhirnya orang tak tahu sama ada betul atau pun salah.

“Justeru banyak hal yang perlu diperbaiki dalam soal pengurusan agama kerana agama mempunyai ramai peminat. Ada yang betul mencari agama ada juga yang ambil kesempatan.

“Apa yang jadi laku..yang tak ada kaitan dengan agama pun diletakkan label agama supaya orang mempercayai produk itu kemudian dapat habuan daripada itu,” katanya.

Bagaimanapun, beliau menyambut baik usaha kerajaan menghalang penggunaan unsur agama dalam pemasaran produk dan menyifatkan ia satu langkah yang amat wajar.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy