BeritaRasuah: Rakyat perlu profesional, jangan pukul rata ahli politik

Rasuah: Rakyat perlu profesional, jangan pukul rata ahli politik

SHAH ALAM – Rakyat diminta untuk sentiasa profesional dalam menilai atau mengkaji ahli politik serta tidak memukul secara rata sekiranya ada antara mereka yang terlibat dengan rasuah.

Penganalisis politik, Dr Hussain Yusri Zawawi berkata, ini kerana masih ada kalangan ahli politik yang jujur berkhidmat untuk rakyat.

“Sekiranya ahli politik yang mempunyai masalah seperti ini, pihak berwajib antaranya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan badan kehakiman perlu mengambil inisiatif yang lebih bertanggungjawab terhadap ahli politik tersebut.

“Bagaimanapun, tidak dinafikan ramai dalam kalangan ahli politik yang ada sekarang tidak terlibat dengan isu-isu sedemikian.

“Cuma bila poster tersebut berkait dengan rasuah dan seumpamanya, ia memberi satu persepsi yang besar kepada rakyat Malaysia seolah bila masuk ahli politik atau menjadi wakil rakyat, sudah pasti terlibat dengan rasuah.

“Jadi persepsi ini besar beri kebaikan dan juga memaparkan sikap yang negatif. Cuma kita sebagai rakyat Malaysia perlu peka dengan isu berkaitan rasuah dan profesional,” katanya dalam program Kompas Rasuah Busters bertajuk Undi 18 Jadi Rebutan, Jangan Sampai Sogok, pada Rabu.

Program tersebut dikendalikan Ismail Adnan selaku moderator dan disiarkan di semua platform media sosial Sinar Harian.

Sementara itu, Hussain berkata, amalan memberi wang untuk menarik undi amat sukar untuk dihapuskan secara drastik.

Ini kerana katanya, sikap tersebut sering ditunjukkan oleh kebanyakan ahli politik yang mengajak orang muda ke arah tidak sepatutnya.

Ujar beliau, ahli politik seharusnya memastikan semua unsur-unsur negatif itu tidak berlaku pada mana-mana pilihan raya.

“Ini kerana dahulu banyak orang muda digula-digulakan untuk kepentingan parti politik dan kepentingan tokoh politik tertentu untuk mendapatkan sokongan dengan cara yang mudah dan tidak sepatutnya.

“Bagaimanapun, saya rasa anak muda hari ini tidak mudah digula-gulakan kerana dia lebih memahami walaupun Undi 18 ini dikatakan terlalu muda atau tidak matang.

“Tetapi dunia hari ini bukan begitu, kerana dunia berdepan dengan media massa dan isu yang mudah diperkatakan oleh anak muda dan dengan mudah menilai tingkah laku ahli politik hari ini.

“Kalau dulu amat sukar kerana media tidak meluas. Hari ini kita ada macam-macam media yang boleh memaparkan sikap politik. Saya yakin orang muda sekarang lebih matang dan tahu apa yang diinginkan,” jelasnya.

Tambah Hussain lagi, parti politik yang bertanding tidak boleh menganggap mereka boleh menang besar dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor berikutan anak muda menjadi penentu kemenangan calon terbabit.

“Kalau dulu kita tengok jika ayah sokong A, anak turut sokong A dan begitulah sebaliknya. Namun politik Malaysia hari ini sudah melalui satu perubahan landskap yang sangat baik. Kalau keluarga itu sokong UMNO, belum tentu anaknya turut sokong UMNO.

“Justeru itu, semua parti politik hari ini tidak boleh kata mereka boleh menang besar pada pilihan raya sebab penentunya adalah anak muda,” katanya.

Terkini

Artikel Berkaitan

Leave a reply

Please enter your comment!
Please enter your name here

Generated by Feedzy